X

Kindly register in order to view this article
!

Ompok ikan etnik Kampar

Siti Nur Baya menunjukkan doda kacang panjang yang dijualnya sepanjang Ramadan selain ompok ikan. Gambar kecil: Hidangan ompok ikan mendapat sambutan menggalakkan terutama bagi masyarakat sekitar daerah Sabak Bernam.
A
A

SEKILAS pandang juadah berbuka puasa disediakan oleh seorang peniaga dalam talian ini saling tidak tumpah seperti asam pedas.

Namun, sebenarnya ia merupakan masakan tradisi etnik Kampar dari Riau, Indonesia yang berhijrah ke negara ini.

Masakan tersebut yang dikenali dengan nama ompok ikan mungkin kedengaran agak janggal, namun ia merupakan juadah turun-temurun yang cukup istimewa kepada etnik berkenaan.

Tidak hairanlah ompok ikan sering menjadi menu utama dalam majlis keramaian seperti kenduri, pertunangan dan perkahwinan.

Kini, masakan berkenaan turut mendapat sambutan menggalakkan terutama bagi masyarakat sekitar Sabak Bernam di Selangor.

Memandangkan permintaannya tinggi, ia telah mendorong seorang suri rumah, Siti Nur Baya Moahamed menjadikannya sebagai punca pendapatan sepanjang Ramadan ini.

Wanita berusia 46 tahun itu berkata, ompok ikan cukup istimewa kerana dipelajari daripadanya ibu mentuanya yang telah meninggal dunia berasal dari Sumatera, Indonesia.

Katanya, ompok ikan dan asam pedas kelihatan seakan sama tetapi cara penyediaan bahan dan rasanya amat berlainan sekali.

“Ompok ikan ini perlu digaul terlebih dahulu supaya sebati dan kemudian direbus dalam periuk sehingga mendidih dan kering.

“Apabila siap dimasak isi ikan yang siap direbus akan menjadi lebih lembut dan tekstur rasanya pedas dan masam selain aromanya mampu membangkitkan selera,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, hidangan menggunakan ikan kembung atau patin itu bukan sahaja boleh dijamah dengan nasi, malah sesuai dimakan dengan roti dan pulut.

“Kalau tak nak makan dengan nasi, menu ini sesuai dimakan dengan hidangan tambahan lain, malah isi ikan ini juga sedap diratah pada waktu minum petang bersama keluarga,” katanya.

Diwarisi

Siti Nur Baya menganggap ompok ikan itu perlu diwarisi secara turun-temurun dan dikekalkan supaya masakan itu tidak hilang ditelan zaman.

“Walaupun bukan berketurunan Kampar tetapi saya sedaya upaya untuk terus memperkenalkan masakan ini kepada generasi baharu.

“Alhamdulilah, saya dapat mewarisi hidangan ini. Biasanya jika keluarga sebelah suami datang ke rumah saya akan menyajikan mereka dengan menu tradisi ini,” katanya.

Siti Nur Baya berkata, berkat usahanya mempelajari masakan itu, dia kini mampu menjana pendapatan sampingan secara dalam talian.

Katanya, sambutan diterima cukup menggalakkan apabila setiap hari dia menerima antara 20 hingga 30 bungkus tempahan daripada pelanggan.

“Biasanya saya mengambil tempahan sehari lebih awal bagi penyediaan barang dan bungkusan tempahan ompok ikan akan dihantar kepada pelanggan pada keesokannya.

“Saya menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan dari rumah penduduk sekitar kawasan berhampiran bergantung kepada jarak lokasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak melebihi 10 kilometer,” katanya.

Siti Nur Baya berkata, ompok ikan dijual pada harga RM5 sebungkus yang mengandungi tiga hingga empat ekor ikan bergantung kepada saiz.

“Waktu penghantaran pula bermula dari jam 4.30 petang hingga sebelum berbuka puasa,” katanya.

Selain ompok ikan, Siti Nur Baya turut dijual menjual kencur ikan keli, ayam goreng berlada dan lemak udang cili api pucuk paku.

Turut diperkenalkan menu tambahan lain seperti doda kacang panjang, pajeri nanas atau terung, kerabu jawa serta begedil ayam.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!