X

Kindly register in order to view this article
!

Bisnes dalam talian main peranan penting ketika PKP

Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A

SELEPAS 45 hari melalui perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak usahawan dalam talian di Malaysia nampaknya mula menikmati hasil peningkatan jualan masing-masing.

Rata-ratanya berpuas hati kerana usaha mempromosikan produk tanpa henti menggunakan medium dalam talian akhirnya membuahkan hasil walaupun pada mulanya ramai yang tidak yakin perniagaan mereka mampu bertahan.

Kejayaan tersebut secara tidak langsung telah menggalakkan lebih ramai peniaga bertukar daripada kaedah konvensional kepada secara dalam talian.

Hasilnya bukan sahaja menguntungkan peniaga malah turut memberi manfaat kepada orang ramai, terutamanya mereka yang menawarkan perkhidmatan penghantaran.

Peningkatan jualan dalam talian yang pesat telah menyebabkan kekosongan jawatan dalam bidang penghantaran ekoran bungkusan yang diterima oleh syarikat-syarikat penghantaran dalam sehari amat tinggi.

Trend tersebut menyebabkan satu persatu syarikat penghantaran menawarkan kerja kosong dengan upah yang lumayan. Sebagai contoh, Pos Malaysia telah menawarkan komisen sehingga RM6,000 kepada mereka yang berminat untuk memenuhi kekosongan jawatan ditawarkan itu.

Syarikat itu dalam satu kenyataan menjelaskan, mereka memerlukan lebih ramai pos rider atau ejen sepenuh masa untuk serahan item Pos Laju di seluruh negara.

Selain Pos Malaysia, Lalamove dan Teleport yang juga anak syarikat AirAsia turut menawarkan upah lumayan kepada mereka yang berminat menjadi penghantar syarikat-syarikat itu.

Kesan peningkatan jualan dalam talian itu nampaknya bukan sahaja menguntungkan syarikat penghantaran malah ia juga memberi peluang pekerjaan kepada orang ramai, terutamanya mereka yang kehilangan kerja susulan pelaksanaan PKP.

Dalam situasi ini, perniagaan dalam talian nampaknya memainkan peranan penting mencipta rantaian pendapatan dalam sesebuah masyarakat. Ia bukan sahaja membantu peniaga meneruskan perniagaan yang diusahakan, malah turut membantu syarikat penghantaran meneruskan operasi dan menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka yang memerlukan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus