X

Kindly register in order to view this article
!

Antara ekonomi dan kesihatan

A
A

SEKALI lagi dunia berada di persimpangan. Kedua-dua kelompok pakar saling memberi hujah untuk menguruskan pandemik koronavirus. Pakar kesihatan menggunakan hujah saintifik mengenai koronavirus dan apa yang perlu dilakukan untuk terus meleperkan lekuk kenaikan jangkitan manakala ahli ekonomi memberi gambaran bahawa ekonomi kini dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

Pakar kesihatan berulang kali mengingatkan virus itu amat sukar diperangi. Kenyataan pakar kesihatan mengeluarkan hujah merit sains dan statistik bahawa virus itu boleh bermutasi iaitu berubah sifat dan kekuatan dan boleh menyerang dengan gelombang kedua, ketiga dan kempat.

Bermakna selagi ujian saringan jangkitan tidak dilaksanakan untuk mengesan kontak bagi mengenalpasti mereka yang telah terjangkit, selagi itu membuka semula atau mengendurkan sekatan pergerakan sangat berisiko.

Negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Perancis, Itali, Jerman, Sepanyol, China, Rusia, Jepun, Korea Selatan dan Kanada menunjukkan kes jangkitan yang sangat tinggi. Negara membangun seperti di Latin Amerika, Asia Barat, Asia Selatan, Asia Tenggara dan Afrika bakal melihat jangkaan kes Covid-19 yang besar kerana kapasiti pengurusan kesihatan awam yang rendah.

Soalnya bila kawalan pergerakan (lockdown) terlalu lama, semua rantaian ekonomi terhenti. IMF meramalkan tahun 2020 ekonomi dunia akan negatif 3 peratus. Kini kemelesetan ekonomi dunia sudah berlaku. Dengan satu demi satu indikator ekonomi menjunam, kemelesetan ekonomi dunia 1929-30 (The Great Recession) mungkin berulang jika pun tidak lebih parah.

Harga petrol dunia menjunam turun pada tahap yang tidak pernah berlaku. Setelah OPEC bersetuju mengurangkan pengeluaran, tiba-tiba harga petrol di AS menjadi negatif. Stok petrol berlebihan kerana permintaan menjunam. Syarikat minyak untuk pertama kalinya terpaksa diselamatkan (bailout) oleh kerajaan.

Program Makanan Sedunia (World Food Program) menjangka 300,000 orang berisiko mati kebuluran sehari dan beberapa negara di dunia akan mengalami kebuluran. Kehilangan pekerjaan memuncak kepada puluhan juta di seluruh dunia. Pelbagai industri terjejas dan bakal diisytihar bankrap apabila operasi terhenti terlalu lama.

Berkait

Rantaian ekonomi dalam hampir semua sektor terjejas: pertanian, industri makanan, pembuatan, pembinaan, pengangkutan, perkhimatan pendidikan, industri perkhidmatan. Tuntutan pengusaha kecil, sederhana dan besar serta gergasi korporat mendesak supaya enjin ekonomi dihidupkan segera. Setiap sektor ekonomi perlu dibuka kembali. Ini mula kedengaran di AS, Brazil dan beberapa negara Eropah.

Sesungguhnya antara kesihatan dan ekonomi saling berkait. Bagaikan memilih antara telur dan ayam. Dalam keadaan tertentu telur yang datang dahulu, dalam keadaan yang lain, ayam mendahului. Kehidupan keseluruhan juga persis satu tubuh badan. Tidak ada bahagian tubuh yang berfungsi secara bersendirian. Semua saling berkait. Namun apa yang menjadi keutamaan kini ialah mencari solusi terbaik untuk pertamanya menyelamatkan dan mengurangkan impak kepada nyawa manusia, serentak dengan itu memastikan ekonomi seharian rakyat tidak terhenti berterusan.

Di sinilah hikmah dalam menguruskan sumber menjadi sangat kritikal. Kerosakan sosial, ekonomi, kesihatan dan alam yang berlaku selama ini sering dihujahkan bahawa ia adalah kesan pembangunan yang tidak boleh dielakkan.

Hujah ini diguna oleh ahli politik, perancang pembangunan dan ahli ekonomi serta ahli korporat untuk mengabsahkan kerosakan yang dianggap suatu norma dunia moden dan maju. Akibatnya kerosakan muncul menjadi krisis global yang sukar diperbaiki.

Ternyata isu sekarang ialah di tingkat makro perlu ada suatu penilaian yang kritikal terhadap sistem ekonomi dan pengurusan kesihatan di seluruh dunia. Sekali gus di tingkat mikro, pendidikan budaya hidup seimbang dan mesra alam, mekanisme dan urus kelola yang berintegriti perlu digubal.

Isu utama yang menyebabkan dunia terperangkap dalam kemelut seperti wabak ini adalah isu keadilan, pengurusan sumber, pengagihan saksama, ekonomi eskploitatif, kerosakan alam dan urus kelola pemerintahan.

Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!