Langgar PKP sebab gian judi sambil makan megi

Polis menyoal siasat 5 suspek yang melanggar PKP dengan berjudi sambil makan megi.
Polis menyoal siasat 5 suspek yang melanggar PKP dengan berjudi sambil makan megi.
A
A
A

KEMAMAN - Lima lelaki bukan sahaja tergamak berjudi ketika Ramadan malah dipercayai menikmati mi segera dan air kopi di sebuah pondok di Kampung Dadong di sini.

Kesemua mereka yang berusia antara 57 hingga 66 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman kira-kira jam 4 petang semalam selepas menerima maklumat mengenai sekumpulan lelaki yang berkumpul di pondok itu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, mereka dapati lelaki terbabit sedang bermain judi daun terup dan terdapat dua mangkuk mi segera serta air kopi.

"Pemeriksaan di badan mereka tidak menemui barang salah namun siasatan lanjut mendapati dua mangkuk mi segera dan segelas air kopi di atas lantai pondok berkenaan.

"Mereka juga gagal memberikan alasan munasabah tujuan berkumpul di pondok itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, kesemua mereka kemudiannya dibawa ke IPD Kemaman untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, kes tersebut disiasat mengikut Peraturan 6(1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit.

Artikel Berkaitan: