PKP: Pelajar IPT di Terengganu pulang malam ini

Roslee (tengah) sewaktu sidang media yang diadakan di IPD Hulu Terengganu, hari ini.
Roslee (tengah) sewaktu sidang media yang diadakan di IPD Hulu Terengganu, hari ini.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Terengganu yang terkandas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan mula bergerak pulang ke kampung halaman malam ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, seramai 326 pelajar daripada lima IPT itu akan bergerak pulang ke destinasi masing-masing bermula jam 9 malam.

Menurutnya, seramai 181 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang terlibat, dengan 126 orang daripadanya akan menaiki 11 bas manakala selebihnya akan menaiki van dan kereta sendiri.

"Di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pula, seramai 23 pelajar akan menaiki 2 bas manakala 97 pelajar Universiti Teknologi MARA cawangan Dungun akan pulang ke kampung dengan 7 bas.

"Seramai 14 pelajar Politeknik Kuala Terengganu akan menaiki 2 bas dan Politeknik Hulu Terengganu melibatkan 11 pelajar dengan dua bas," katanya pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu, hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai tangkapan sempena PKP, beliau berkata, seramai 659 individu telah ditahan setakat ini, termasuk 36 individu yang ditahan pada PKP fasa empat yang bermula semalam.

Jelasnya, bagi memastikan masyarakat sentiasa mematuhi arahan sepanjang PKP ini, polis juga mengekalkan 47 sekatan jalan raya di seluruh Terengganu dan melakukan 'snap check'.

"Saya juga dimaklumkan daerah Dungun sudah dikategorikan zon hijau, jadi seramai 64 anggota yang sebelum ini diletakkan di Kampung Tok Kah, Teluk Lipat dan Sungai Buaya bagi memantau pergerakan penduduk susulan peningkatan kes koronavirus (Covid-19) di situ akan berakhir ini.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun sudah banyak daerah di Terengganu dikategorikan zon hijau, saya harap masyarakat terus mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengelakkan penularan Covid-19," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang keluar mencari juadah berbuka pada waktu petang supaya mematuhi SOP yang ditetapkan, dan memainkan peranan masing-masing dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.