Belum ada ketetapan garis panduan sambutan Aidilfitri

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Garis panduan sambutan Aidilfitri masih dibincangkan dan belum ada sebarang keputusan rasmi mengenai pelaksanaannya.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ketetapan itu akan dikemukakan mengikut perkembangan koronavirus (Covid-19) dalam negara apabila tiba waktu sesuai.

"Ada beberapa cadangan dikemukakan iaitu jika masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan satu lagi ketika Covid-19 melandai turun.

"Selain itu, kita kena lihat pendirian terakhir kerajaan berkenaan PKP sama ada bersambung atau sebaliknya," katanya mengulas berhubung penularan berita palsu mengenai Panduan Sambutan Aidilfitri dalam tempoh PKP sejak kelmarin.

Beliau ditemui ketika Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada Asnaf di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi Taman Melati di sini hari ini.

Beliau berkata, perbincangan diteruskan bagi membolehkan perkembangan mengenainya di kemas kini dari masa ke masa sehingga mendapat kepastian sebenar.

"Kami akan berbincang bersama mufti, Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan dan mereka yang terlibat termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum membabitkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Sekurang-kurangnya perkara itu boleh dikemas kini dari masa ke masa dan kita akan kemukakan solusinya," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Jakim nafi keluar garis panduan sambut Aidilfitri

Artikel Berkaitan:

Semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menafikan mengeluarkan dokumen panduan sambutan Aidilfitri dalam tempoh PKP seperti yang tular di media sosial.

Garis panduan tersebut antaranya mendakwa solat sunat Aidilfitri boleh dilaksanakan di rumah bersama ahli keluarga tanpa khutbah hari raya, takbir raya di masjid atau surau oleh imam atau tadbir itu boleh dirakam.

Selain itu, panduan tersebut melarang rumah terbuka bagi mengelakkan penularan Covid-19.