Lempar 50,000 pil kuda

Roslee (dua kanan) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas.
Roslee (dua kanan) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Polis Terengganu menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan penangkapan dua lelaki dan merampas 50,000 biji pil kuda bernilai RM750,000 Sabtu lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, sepasukan polis yang sedang membuat rondaan Ops Covid-19 berhampiran Plaza Tol Telemong di sini terserempak dengan sebuah lori yang berhenti di tepi jalan dan berada dalam keadaan mencurigakan.

"Salah seorang suspek bertindak melempar sesuatu ke luar sebaik sahaja menyedari kehadiran polis, sebelum pemeriksaan mendapati ia adalah dadah.

"Hasil pemeriksaan lanjut, kita menemui dadah yang disimpan dalam penapis udara sebelum mereka mengaku mengambil upah membawa dadah itu dengan bayaran antara RM1,000 hingga RM8,000 untuk setiap kali perjalanan.

"Mereka sebenarnya penjual buah dan mengambil bekalan buah di Johor, namun pada masa sama, mengambil kesempatan dengan ambil upah membawa dadah," katanya ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu di sini hari ini.

Roslee menunjukkan tempat dadah disorokkan.
Roslee menunjukkan tempat dadah disorokkan.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu, Superintendan Roslan Tahir dan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud.

Mengulas lanjut, Roslee berkata, suspek turut mengakui sudah tiga kali membawa dadah daripada Kelantan bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu pada Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua suspek berusia 29 dan 35 tahun dan berasal dari Kelantan itu dikatakan mengambil upah antara RM1,000 hingga RM8,000 bagi membawa dadah berkenaan kepada pengedar lain yang mahu mendapatkan bekalan itu.

"Hasil siasatan, kita dapati bekalan dadah itu diperoleh daripada negara jiran, untuk diedarkan di pasaran Terengganu dan Pahang.

"Sekiranya bekalan itu terlepas, ia boleh digunakan untuk kira-kira 2,000 penagih dengan setiap satu biji pil dianggarkan berharga RM15," katanya.

Jelasnya, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau serta negatif saringan urin dan mereka kini direman selama tujuh hari sehingga 2 Mei untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sebahagian daripada pil kuda yang dirampas.
Sebahagian daripada pil kuda yang dirampas.