PKS akan dibenarkan beroperasi dalam masa terdekat

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Perdana Putra hari ini.- Foto Bernama
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Perdana Putra hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan bakal memberikan kelonggaran kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk beroperasi sedikit masa lagi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengumuman berkaitan kebenaran tersebut akan dibuat oleh kerajaan bersama prosedur operasi standard (SOP) untuk dipatuhi syarikat PKS.

"Benar mereka (syarikat-syarikat besar) sudah beroperasi. Insya-ALLAH kita sama-sama tunggu pengumuman nanti kerana antara kelonggaran (yang akan dilaksanakan) turut melibatkan syarikat-syarikat kecil atau PKS ini," katanya pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Menjawab soalan mengenai beberapa sektor yang dibenarkan beroperasi oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) namun tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), Ismail Sabri berkata, pihaknya telah meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk berbincang dengan PBT berhubung kebenaran beroperasi.

"Memang perkara ini ada dibincangkan dalam mesyuarat dan sepatutnya PBT membenarkan setiap kilang (yang telah dibenarkan) untuk beroperasi.

"Mungkin berlaku kekeliruan, jadi kita minta KPKT untuk berbincang dengan PBT. Ini kerana setiap kebenaran yang diberikan oleh MITI, PBT perlu benarkan," katanya.

Ditanya mengenai syarikat yang dibenarkan untuk beroperasi secara 100 peratus ketika ini dan SOP di tempat kerja termasuklah amalan penjarakan sosial, beliau berkata, SOP yang dikeluarkan oleh MITI kepada mereka cukup ketat.

"Kilang yang dibenarkan beroperasi secara 100 peratus ini melibatkan kilang-kilang bagi keperluan asas di negara ini. Memang sebelum ini mereka telah beroperasi tetapi mungkin dengan hanya 50 peratus kakitangan.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang kita telah benarkan 100 peratus kakitangannya bertugas. Memang kita laksanakan secara berperingkat sebelum ini. Untuk penjelasan lanjut mungkin MITI boleh menjawabnya," katanya.