Program B10 mandatori ke atas minyak sawit Februari 2019

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Stesen minyak di seluruh negara akan beralih kepada biodiesel B10 menjelang Februari 2019 daripada campuran diesel B7 yang ditawarkan ketika ini, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim.

Beliau berkata, program biodiesel B10 mula dilaksanakan pada Disember tahun lepas untuk sektor pengangkutan dan ia dijalankan secara berperingkat.

“Sasaran program B10 adalah meningkatkan nisbah campuran bahan api bio sawit dalam diesel daripada tujuh peratus kepada 10 peratus.

“Kerajaan telah mengumumkan mandat B10 untuk sektor pengangkutan sebagai sebahagian mekanisme pengurusan bekalan minyak sawit mentah dalam usaha menstabilkan harga minyak sawit menerusi pengurangan paras stok domestik dan meningkatkan sumber tenaga mampan,” katanya dalam ucaptama di Seminar Tinjauan Ekonomi dan Prospek Minyak Sawit 2019 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Kok berkata program B7 bagi sektor perindustrian akan dilaksanakan mulai 1 Julai tahun ini, sekali gus akan meningkatkan permintaan tempatan terhadap minyak sawit kepada 386,993 tan setahun daripada 373,512 tan pada masa ini.

"Pelaksanaan mandatori (program berkenaan) dalam kedua-dua sektor itu dianggarkan memerlukan 760,505 tan minyak sawit setahun dan dijangka memberi kesan positif kepada harga minyak sawit,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut merancang untuk meningkatkan campuran biodiesel daripada B10 kepada B20 menjelang 2020.

Artikel Berkaitan:

Prestasi industri minyak sawit tempatan pada tahun lepas adalah bercampur-campur, dengan industri merekodkan pertumbuhan 3.6 peratus bagi eksport produk minyak sawit, katanya.

“Namun, harga minyak sawit mentah susut kepada purata RM2,232 satu tan pada 2018 daripada RM2,783 pada 2017, dipengaruhi harga minyak kacang soya yang lemah, pesaing utamanya dalam pasaran dunia, selain stok minyak sawit domestik yang tinggi,” katanya.

Susulan itu, perolehan daripada produk minyak sawit susut sebanyak 12.3 peratus kepada RM62.68 bilion bagi tempoh Januari hingga November pada 2018, berberbanding RM71.44 bilion dalam tempoh sama 2017.

"Keseluruhannya, 2018 merupakan tempoh yang mencabar bagi perdagangan lelemak dan minyak sayuran.

“Industri minyak sawit malaysia mengalami beberapa cabaran berikutan peningkatan stok minyak sawit di dalam negara, ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, serta kelemahan ringgit berbanding dolar AS. Secara kolektif, semua ini menyebabkan aliran rendah harga minyak sawit,” katanya.

Bagi memastikan pengeluaran mampan, Kok berkata kerajaan komited untuk melaksanakan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang akan diwajibkan mulai 1 Jan, 2020.

Pensijilan ini akan mempertingkat industri minyak sawit negara kepada piawaian antarabangsa selain memperluas akses pasaran susulan perubahan sikap mengambil berat pengguna global.

Ia juga menandakan langkah penting ke arah menjajarkan dan menjenamakan minyak sawit Malaysia kepada amalan kelestarian yang diterima global.

Kok berkata kerajaan juga melancarkan kempen Sayangi Minyak Sawitku tahun ini sebagai sebahagian usaha mengubah persepsi negatif terhadap minyak sawit Malaysia.

“Cubaan untuk meragui minyak sawit akan sentiasa wujud dari semasa ke semasa.

"Kita tidak dapat bertindak sendiri dalam berdepan semua cabaran ini. Oleh itu, Malaysia dan Indonesia, bekerjasama untuk menangani pelbagai isu dan dakwaan berat sebelah berkaitan perdagangan minyak sawit di bawah Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit,” katanya. - Bernama