Inspektor polis mengaku tak bersalah rogol dua wanita Mongolia

Tertuduh (kiri) mengangkat tangan ketika memasuki Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini.
Tertuduh (kiri) mengangkat tangan ketika memasuki Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap sembilan pertuduhan merogol dan cubaan cabul dua wanita warga Mongolia berusia 20 dan 36 tahun, awal bulan ini.

Hazrul Hizham Ghazali, 30, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, didakwa atas enam pertuduhan merogol mangsa pertama, dengan menggunakan kuasa sebagai pegawai kanan polis bagi mendapatkan kerelaannya.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di bilik 203 di sebuah hotel di Petaling Jaya, antara jam 12.30 tengah malam hingga 1 petang, 11 April lalu.

Bagi setiap kesalahan, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(f) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa dengan satu pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa, dengan maksud hendak mencabul kehormatannya, di khemah Sekatan Jalan Raya NPE PJS 2, di sini pada jam 5.30 hingga 6.15 petang, hari yang sama.

Sementara dua lagi pertuduhan, dia didakwa merogol mangsa kedua, dengan menggunakan kuasa sebagai pegawai kanan polis bagi mendapatkan kerelaannya, di bilik dan lokasi sama, pada jam 7 dan 11 pagi, hari sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah mencadangkan tertuduh tidak ditawarkan ikat jamin atas alasan kesalahan yang dilakukan oleh seorang penjawat awam adalah serius.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Shah Rizal Abdul Manan memohon ikat jamin dibenarkan dengan alasan, tiada risiko untuk tertuduh melarikan diri dan sembilan pertuduhan rogol dan cabul dua wanita Mongolia itu mungkin dibicarakan secara serentak.

Artikel Berkaitan:

Hakim, Norshila Kamaruddin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM 24,000 bagi semua pertuduhan merogol manakala RM3,000 bagi pertuduhan mencabul dan menetapkan sebutan kes pada 2 Jun depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Inspektor polis didakwa memperdagangkan dua wanita Mongolia

Semalam, dia dituduh dengan dua pertuduhan di Mahkamah Klang atas dakwaan memperdagangkan dua wanita berkenaan bagi tujuan eksploitasi seks.

Bagi pertuduhan berkenaan, mahkamah membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM 20,000 dan sebutan kes pada 17 Jun depan.