Bursa Malaysia catat sejarah laksana AGM secara maya sepenuhnya

Gambar hiasan. -Foto:123RF
Gambar hiasan. -Foto:123RF
A
A
A

BURSA Malaysia Bhd mencatat sejarah dalam dunia korporat Malaysia apabila menjadi syarikat pertama di negara ini yang mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) secara maya sepenuhnya.

Pengendali bursa itu melaksanakan AGM ke-43 secara dalam talian semalam sebagai langkah melindungi kesihatan dan keselamatan pemegang saham berikutan keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini ekoran pandemik koronavirus (Covid-19) serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan.

Para pemegang saham menyertai dan mengundi dari jarak jauh menerusi kemudahan Penyertaan dan Pengundian Jarak Jauh (RPV).

Mesyuarat secara maya itu disiarkan dari Bilik Persidangan bangunan Bursa Malaysia yang terletak di Bukit Kewangan.

Langkah berkenaan adalah sejajar dengan saranan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) supaya syarikat-syarikat mengendalikan mesyuarat secara maya sepenuhnya semasa tempoh PKP.

Pada 18 April, pengawal selia itu telah mengeluarkan Nota Panduan mengenai Pengendalian Mesyuarat Agung untuk Penerbit Tersenarai, yang antara lain menyatakan mesyuarat itu seharusnya melibatkan tidak lebih daripada lapan individu yang perlu hadir secara fizikal di tempat penyiaran.

Ini merangkumi pengerusi mesyuarat agung, ketua pegawai eksekutif, ketua pegawai kewangan, setiausaha syarikat, juruaudit dan mereka yang menyediakan sokongan audio-visual.

"Nota panduan ini adalah perlu bagi memastikan syarikat dapat memenuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang dan kepada pemegang saham dalam tempoh PKP ini.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga menggalakkan syarikat untuk memanfaatkan teknologi walaupun di luar tempoh PKP dalam mengadakan mesyuarat yang membolehkan penyertaan pemegang saham sepenuhnya, walaupun dari lokasi jauh," kata Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar.

Sebelum ini, Bursa Malaysia turut melakar sejarah sebagai syarikat pertama di negara ini yang menganjurkan AGM ke-42 secara hibrid yang memberi pilihan kepada pemegang saham untuk menyertai AGM secara fizikal atau menerusi jarak jauh. - Bernama