SOP operasi Taska, Tadika diketahui hari ini

SOP operasi Taska, Tadika dalam PKP fasa empat diketahui hari ini. - Gambar hiasan.
SOP operasi Taska, Tadika dalam PKP fasa empat diketahui hari ini. - Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masuk hari kedua dalam fasa empat, menyaksikan kerajaan terus berusaha keras untuk mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Hari ini, rakyat bakal mengetahui prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pembukaan operasi taman asuhan kanak-kanak (Taska) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) sepanjang PKP keempat yang bermula 29 April hingga 12 Mei.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan perkara berkenaan akan dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Menteri-menteri Berkenaan Pelaksanaan PKP hari ini.

Selain isu berkenaan, Ismail Sabri juga memaklumkan bahawa pada mesyuarat yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan membincangkan SOP berkaitan ibadah sepanjang bulan Ramadan ini selain nasib penganjuran aktiviti sukan seperti Liga Malaysia (Liga-M).

No Image Caption

PKP fasa empat turut memperlihatkan kelonggaran yang diberi kerajaan dengan membenarkan dua individu dari rumah yang sama dan keluarga terdekat bergerak dalam satu kenderaan untuk keluar membeli makanan dan barang keperluan harian.

Sebelum ini, hanya ketua keluarga dibenarkan bergerak untuk membeli makanan dan barang keperluan harian.

Kelonggaran SOP fasa empat juga menyaksikan kerajaan membenarkan pergerakan melebihi 10km untuk mendapatkan barang keperluan serta perkhidmatan kesihatan dan perubatan, jika keperluan dan perkhidmatan itu tidak terdapat dalam radius 10km dari kediaman mereka.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Ismail Sabri turut menegaskan bahawa tiada istilah hukuman dua darjat bagi mereka yang melanggar PKP kerana kerajaan sentiasa bersikap adil dan tindakan undang-undang yang diambil adalah mengikut tuduhan dikenakan.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat menitikberatkan garis panduan yang ditetapkan sebelum ini ke atas mana-mana sektor susulan beberapa sektor ekonomi sudah mula beroperasi pada fasa empat PKP.

Sama ada Taska, restoran atau institusi berkaitan ekonomi sekalipun, mereka perlu mengutamakan garis panduan yang ditetapkan dan perkembangan ini akan dipantau KKM sebelum membenarkan sektor lain seperti pendidikan dan sosial pula dibuka untuk beroperasi.

KKM sudah boleh mendabik dada kerana negara mencatatkan kes positif Covid-19 terendah sejak PKP dilaksana pada 18 Mac dengan 22 kes sahaja dilapor.

Bagaimanapun, susulan terdapat 72 kes import membabitkan warganegara dan pelajar pulang dari Indonesia, ia terus mencecah kepada 94 kes secara keseluruhan.

Rakyat juga boleh berasa lega kerana tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dengan kekal 100 kes, selain terdapat 55 kes telah pulih dan dibenarkan discaj semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya ialah 4,087 kes.

Jika kita ingin statistik berkaitan Covid-19 terus menurun, pastinya pilihan terletak di tangan kita untuk terus mematuhi arahan PKP. Kalau bukan kita, siapa lagi? - Bernama