Mahkamah minta ketua hakin negara fail afidavit balasan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini meminta supaya Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum memfailkan afidavit balasan terhadap saman pemula oleh anak perempuan mendiang Karpal Singh, berhubung dakwaan campur tangan terbuka Badan Kehakiman dalam keputusan kes Akta Hasutan peguam itu (Karpal) dan kes penukaran agama tiga kanak-kanak beragama Hindu.

Hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril membuat perintah itu semasa sebutan kali pertama kes berkenaan, yang turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Mazlifah Ayob mewakili Ketua Hakim Negara dan peguam Sangeet Kaur Deo bertindak bagi pihak bapanya.

“Defendan (Ketua Hakim Negara) perlu memfailkan afidavit balasan sebelum atau pada 11 Februari,” kata hakim itu dan menetapkan tarikh sama untuk pengurusan kes.

Terdahulu, Sangeet memaklumkan kepada mahkamah bahawa saman berkenaan telah dihantar kepada pejabat Ketua Hakim Negara semalam dan Mazlifah juga mengesahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) mewakili Ketua Hakim Negara, yang dinamakan sebagai defendan tunggal dalam saman berkenaan.

Pada 14 Jan lepas, Sangeet, yang juga peguam memfailkan saman itu bagi memohon perintah deklarasi bahawa Ketua Hakim Negara gagal dalam menjalankan tugas sebagai Ketua Badan Kehakiman Malaysia untuk mempertahankan integriti dan kewibawaan badan kehakiman apabila gagal menyempurnakan siasatan dalaman berhubung keputusan rayuan membabitkan kes hasutan mendiang Karpal dan juga kes guru tadika, M. Indira Gandhi.

Sangeet mendakwa isu itu timbul apabila peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan rayuan dalam kes Akta Hasutan mendiang Karpal telah diubah akibat campur tangan kehakiman oleh seorang hakim kanan dan perkara itu dilaporkan oleh portal berita atas talian, Free Malaysia Today pada 22 Ogos 2018.

Peguam itu turut mendakwa terdapat campur tangan kehakiman dalam kes Indira Gandhi dan perkara itu diumumkan secara terbuka oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer dalam ucapan beliau di Persidangan Undang-Undang Antarabangsa pada 16 Ogos 2018.

Sangeet, ketika ditemui pemberita selepas selesai prosiding berkata beliau bimbang konflik kepentingan yang akan timbul selepas dimaklumkan pihak AGC akan mewakili ketua hakim berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah kerana AGC yang meneliti laporan polis yang saya buat pada Ogos tahun lepas berhubung dakwaan seorang peguam berkenaan. Saya tidak pasti sama ada akan mendapat perbicaraan yang adil," kata peguam itu. - Bernama