Covid-19: Rakyat Malaysia antara 690 kes baharu di Singapura

Seorang rakyat Malaysia yang bekerja sebagai jururawat di Pusat Kebangsaan Penyakit Berjangkit (NCID) antara 690 kes baharu positif Covid-19 yang dilaporkan di Singapura hari ini.
Seorang rakyat Malaysia yang bekerja sebagai jururawat di Pusat Kebangsaan Penyakit Berjangkit (NCID) antara 690 kes baharu positif Covid-19 yang dilaporkan di Singapura hari ini.
A
A
A

SINGAPURA - Seorang rakyat Malaysia dari sektor penjagaan kesihatan awam antara 690 kes baharu positif Covid-19 yang dilaporkan di Singapura hari ini.

Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura menerusi satu kenyataan memaklumkan pesakit yang juga kes ke 15,237, tidak mempunyai sejarah perjalanan ke negara atau wilayah yang terjejas.

Jururawat wanita berusia 23 tahun di Pusat Kebangsaan Penyakit Berjangkit (NCID) dilaporkan mendapat gejala itu pada 23 April, dan hasil ujian berikutnya mengesahkan dia dijangkiti Covid-19 hari ini.

Sebelum dimasukkan ke hospital, dia yang kini ditempatkan di NCID, telah mendapat cuti sakit dan hanya pergi bekerja selama beberapa jam, menurut kementerian itu.

Mengenai perkembangan terkini pesakit Covid-19, kementerian itu berkata, 1,188 kes pesakit positif Covid-19 telah dibenarkan keluar dari hospital atau pusat pengasingan komuniti, 22 berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi manakala 14 telah meninggal dunia.

Singapura hari ini telah mengenal pasti lima kluster baharu iaitu di 11, Defu Lane 1; 106, International Road; 33, Senoko Way; 17, Shaw Road; dan 182, Taman Perindustrian Woodlands E5.

Kluster terbesar di republik itu ialah S11 Dormitory @ Punggol yang mencatatkan 2,436 kes yang disahkan positif setakat ini.

Sehingga hari ini, Singapura tidak mempunyai sebarang kes import, 11 kes dalam komuniti, dan 19 pemegang permit kerja yang tinggal di luar asrama.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, kira-kira 95 peratus daripada 690 kes baharu yang dilapor hari ini melibatkan penghuni asrama.

Kementerian memaklumkan bahawa 63 peratus dikaitkan dengan kluster yang dikenal pasti, manakala selebihnya masih menunggu hasil pengesanan kontak. Jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Singapura adalah 15,641. - Bernama