Ikan, sayur rosak dikeluarkan dari Pasar Harian Selayang

Peti simpanan yang digunakan peniaga untuk menyimpan stok ikan di Pasar Harian Selayang dikemas selepas seminggu kawasan itu ditutup.
Peti simpanan yang digunakan peniaga untuk menyimpan stok ikan di Pasar Harian Selayang dikemas selepas seminggu kawasan itu ditutup.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hampir dua tan ikan dan sayur rosak diangkut keluar dari Pasar Harian Selayang semasa kerja pembersihan dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Alam Flora, hari ini.

Pasar Harian Selayang ditutup sejak 21 April lalu sehari selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Bandar Utara dan sekitar Pasar Borong KL dilaksanakan.

Sumber memaklumkan, penutupan itu menyebabkan peniaga di pasar itu tidak dapat mengeluarkan simpanan stok mereka yang ditinggalkan di sana sehingga berulat.

Pekerja Alam Flora terlibat kerja pembersihan di Pasar Harian Selayang hari ini.
Pekerja Alam Flora terlibat kerja pembersihan di Pasar Harian Selayang hari ini.

Menurutnya, pekerja pembersihan juga tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu sehinggalah operasi pembersihan dilaksanakan hari ini.

"Lockdown dilaksanakan secara tiba-tiba menyebabkan peniaga tidak dapat bawa keluar sayur dan ikan yang akhirnya membusuk dalam peti simpanan.

"Semua tong simpanan ikan dan sayur yang rosak itu telah dibawa keluar semasa kerja pembersihan tadi," katanya.

Esok operasi nyahcemar dan nyahbau Pasar Harian Selayang akan dilakukan selepas kerja pembersihan yang dilaksanakan hari ini.

Artikel Berkaitan:

Tong roro penuh dengan peti simpanan ikan yang rosak selepas dibiarkan seminggu susulan arahan penutupan pada 21 April lalu.
Tong roro penuh dengan peti simpanan ikan yang rosak selepas dibiarkan seminggu susulan arahan penutupan pada 21 April lalu.

Sebelum ini, notis penutupan itu dikeluarkan oleh DBKL atas arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan pelaksanaan PKPD keenam di Pusat Bandar Utara dan sekitar Pasar Borong KL bermula 21 April sehingga satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Arahan tersebut selaras dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta Polis 1967 dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Jangkitan) 2020.