Kerajaan digesa lebih terbuka bentang pelan pasca Covid-19

Mujahid Yusof
Mujahid Yusof
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk lebih terbuka mendedahkan pelan perancangan pasca wabak koronavirus (Covid-19) khususnya selepas berakhir tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, langkah itu bagi memastikan wujud keseimbangan antara kawalan kesihatan dan keselamatan awam serta ekonomi.

Sehingga kini, katanya, kerajaan dilihat masih gagal membentangkan aspek terpenting untuk pemulihan ekonomi negara.

Menurutnya, setiap kementerian juga sepatutnya sudah menyediakan polisi-polisi tertentu bagi menghadapi pasca krisis Covid-19.

"Sehingga kini belum ada exit plan yang diumumkan kerajaan. Saya rasa kerajaan kita perlu ada polisi bagi setiap kementerian. Polisi pembukaan sekolah misalnya, kita masih tidak dengar daripada kerajaan tentang apa idea polisi yang boleh dibuat.

"Jadi kerajaan perlu lebih proaktif memberikan maklumat kepada rakyat kerana dalam sektor ekonomi jika kita tidak ada exit plan berpolisi yang jelas, terang dan bermaklumat, kita khuatir boleh bawa kepada isu pelabur lari, peniaga tidak tahu apa hendak buat dan isu melibatkan kepercayaan kepada kerajaan dan sebagainya.

"Dalam konteks ekonomi negara, paling penting adalah kena libatkan semua pihak dan tidak boleh lagi jadi eksklusif kerana semua orang terlibat," katanya dalam perkongsian menerusi sesi Facebook live My Set - Impak Covid19 di Facebook rasmi beliau hari ini.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar turut menyarankan agar kajian terperinci dibuat untuk melaksanakan pengurangan kos melibatkan penjawat awam yang bergred tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Pada saya apa sahaja selama ini yang dianggap mewah kepada mereka (penjawat awam) khususnya (gred) Jusa ke atas, mungkin kita boleh nilai balik kemudahan (elaun) keraian termasuk menteri-menteri dan ahli Parlimen.

"Bagi ahli Parlimen yang menjadi pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pula, apa kata mereka tidak boleh ambil elaun GLC satu sen pun kerana sudah menerima elaun sebagai ahli Parlimen," katanya.