Bersatu Pontian, ketua kampung sokong MB Johor

Zulkifly (tengah) pada sidang media menyatakan sokongan terhadap Menteri Besar di Kampung Permatang Sepam Benut.
Zulkifly (tengah) pada sidang media menyatakan sokongan terhadap Menteri Besar di Kampung Permatang Sepam Benut.
A
A
A

PONTIAN- Bersatu Bahagian Pontian bersama ketua kampung di kawasan Dun Benut menyatakan sokongan penuh terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berhubung isu lawatannya di sempadan perairan Malaysia-Singapura, baru-baru ini.

Ketua Bahagian Bersatu Pontian, Zulkifly Tasrif berkata, pihaknya yakin Datuk Osman Sapian di pihak yang benar dan mendoakan agar beliau terus diberikan kekuatan ketika berdepan pelbagai dakwaan sewaktu menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.

Katanya, selepas mendengar penjelasan Datuk Osman Sapian berhubung isu tersebut, beliau yakin tujuan lawatan ke sempadan perairan Malaysia-Singapura yang dilakukan itu hanyalah untuk memastikan keselamatan negeri ini dalam keadaan baik.

“Kami difahamkan beliau dibawa oleh Pegawai Jabatan Laut, tidak mungkin beliau ke tengah laut seorang diri.

“Mustahil, beliau akan melalui kawasan perairan seperti yang dinyatakan oleh Singapura. Saya menganggap ini adalah satu alasan dan tuduhan liar,” katanya ketika sidang media menyatakan sokongan terhadap Datuk Osman Sapian di Balai Raya Kampung Permatang Sepam, Benut di sini malam tadi.

Zulkifly meminta agar rakyat memberikan keyakinan terhadap Datuk Osman Sapian sebagai Menteri Besar yang telah melaksanakan tugasnya demi mempertahankan kedaulatan negeri ini.

Seramai 20 orang ketua kampung di kawasan Benut hadir pada sidang media itu.

Sementara itu, wakil ketua kampung, Noor Saiful Amri Suloh berharap isu berkaitan kawasan perairan Malaysia-Singapura diselesaikan dengan cara diplomasi tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak.

Artikel Berkaitan:

Katanya, lawatan Datuk Osman Sapian ke kawasan sempadan perairan negara hanya kerana mahu melihat sendiri keselamatan di negeri ini.

“Kami akan terus memberikan sokongan kepada Datuk Osman Sapian sebagai Menteri Besar Johor,” katanya.

Pada 13 Januari lepas, Datuk Osman Sapian menegaskan beliau tidak menceroboh kawasan perairan Singapura yang didakwa milik republik itu, sebaliknya hanya mahu melihat anggota Jabatan Laut menjalankan tugas.