Lima majikan didenda RM35,000

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Lima majikan di negeri ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan membenarkan pekerja warga asing masuk dan berada di dalam premis mereka.

Tertuduh, Low Khiam Leong, 34, Kamarul Zaman Mohd Nor, 46, Lim Chin Chong, 53, Muhammad Amirul Syolihin Wahab, 27, dan Benjamin Ling Soon Tuck, 34, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Low Khiam Leong didenda RM10,000 atau empat bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda selepas mengaku membenarkan dua warga Bangladesh berusia 21 dan 25 tahun yang tidak memiliki sebarang pas berada di dalam premisnya di sebuah tapak pembinaan di Kampung Jambu Bongkok, Marang, lebih kurang jam 11.30 pagi, pada 16 Oktober lalu.

Bagi Kamarul Zaman pula, dia dikenakan denda RM5,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda selepas mengaku membenarkan seorang warga Bangladesh berusia 46 tahun yang telah melakukan kesalahan tinggal lebih masa dari tempoh pas dibenarkan berada di premisnya di Jalan Gong Badak, Kuala Nerus, lebih kurang jam 4.15 petang, pada 1 Januari lalu.

Lim Chin Chong pula dijatuhkan hukuman sama iaitu denda RM5,000 atau sekiranya gagal menjelaskan denda, dia diarahkan dipenjara tiga bulan apabila mengaku membenarkan seorang warga Indonesia berusia 38 tahun yang tidak memiliki sebarang pas sah tinggal di premisnya di Tapak Pembinaan, di bandaraya di sini, kira-kira jam 10 pagi, pada 13 November lalu.

Selain itu, Muhammad Amirul Syolihin juga dijatuhi hukuman sama iaitu denda RM5,000 atau tiga bulan penjara selepas mengaku membenarkan seorang warga Indonesia, 29, tinggal di premisnya di Tapak Pembinaan di Kampung Kubang Ikan, Chendering, di sini, kira-kira jam 10.55 pagi, pada 7 November lalu.

Benjamin Ling Soon Tuck pula dikenakan denda RM10,000 atau empat bulan penjara selepas mengaku membenarkan dua warga Bangladesh berusia 35 dan 36 tahun yang telah melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan tidak memiliki sebarang pas yang sah, berada di premisnya di sebuah tapak pembinaan di Kampung Jambu Bongkok, Marang, kira-kira jam 11.30 pagi, pada 16 Oktober lalu.

Dengan itu, kelima-lima mereka mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55E(2) Akta yang sama.

Artikel Berkaitan:

Bagi kesalahan itu, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 tetapi tidak lebih daripada RM30,000 atau dipenjara bagi tempoh tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya, bagi setiap migran haram yang dijumpai dalam premis, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Jabatan Imigresen Malaysia, Terengganu, Suhaida Saleh.