Pesakit Covid-19 HKL dipindahkan ke Maeps, HSB

Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di Maeps - Foto Bernama
Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di Maeps - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pesakit koronavirus (Covid-19) yang bergejala ringan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akan dipindahkan ke hospital sementara yang terletak di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang bagi membolehkan hospital itu meneruskan semula perkhidmatannya sebelum ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 di tahap empat dan lima yang dirawat di HKL turut akan dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Kita bebaskan sementara HKL dan mereka boleh fokus kepada aktiviti dan perkhidmatan lain," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun terdapat tujuh hospital Covid-19 dan 33 hospital hybrid, perkhidmatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih diteruskan.

"Pembedahan elektif kita tangguhkan dahulu tetapi pembedahan kecemasan, rawatan kepada pesakit kanser dan sebagainya diteruskan seperti biasa," katanya.

Beliau berkata, KKM akan menilai semula jadual tugasan petugas kesihatan yang berdepan perkhidmatan rawatan Covid-19 bagi membolehkan mereka berehat.

"Pesakit Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU) dan yang memerlukan bantuan pernafasan sudahpun berkurangan, mungkin ada masa untuk kakitangan kita berehat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai jadual tugas barisan hadapan yang akan disemak berikutan kes Covid-19 semakin berkurangan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, seramai 1,500 dan 65 pakar perubatan swasta dan jururawat yang bersara telah berkhidmat dengan KKM untuk jangka masa pendek.

"Mereka sedang bertugas di KKM bagi membantu kakitangan kita sekaligus dapat mengurangkan tekanan dalam menjalankan tugas.

"Inilah antara kerjasama erat dan padu antara KKM dan pihak swasta selain memberi pinjaman 72 mesin ventilator," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan berhubung individu yang dikuarantin bersama pesakit Covid-19 di sebuah pusat kuarantin di Johor Bahru.

"Kita akan menyiasat dakwaan itu," katanya.