Mesyuarat tubuh sekreteriat pantau harga barang

Rizam
Rizam
A
A
A

SABAK BERNAM - Pemuda Umno Selangor dijadualkan bermesyuarat malam ini bagi membincangkan penubuhan sekretariat pemantauan harga barang.

Ketuanya, Rizam Ismail berkata, penubuhan sekretariat di seluruh bahagian pemuda Umno negeri dijangka dibuat dalam waktu terdekat.

Menurutnya, cadangan dikemukakan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki itu disifatkan tepat pada masanya dalam usaha menyuarakan keluhan rakyat berhubung kenaikan harga barang.

"Beliau (Asyraf Wajdi) mengharapkan pemuda di setiap bahagian mewujudkan jentera menangani isu kenaikan harga barang.

"Pemantauan yang dilakukan termasuklah harga barang keperluan harian seperti barangan basah, barangan kering dan makanan," katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih di Kampung Sungai Apong, di sini, hari ini.

Rizam yang juga Ketua Pembangkang Dun Selangor berkata, kenaikan harga barang memerlukan pemantauan berterusan kerajaan.

"Misalnya, saya sendiri terkejut apabila ikan kembung dijual pada harga tidak munasabah sehingga mencecah RM22 sekilogram," katanya.

Menurut beliau, sudah tentu kenaikan harga barang memberi tekanan kepada rakyat yang dibebani kos sara hidup.

Artikel Berkaitan:

Justeru tegas beliau, Pemuda Umno negeri akan bertindak melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat kenaikan harga barang.

"Kami berharap masyarakat dapat melihat sendiri peranan Pemuda Umno yang bukan menjadi sebuah badan organisasi semata-mata, tetapi ingin memastikan kerajaan menunaikan segala janji.

"Paling penting, kerajaan PH perlu menterjemahkan apa yang mereka katakan selama ini," katanya.

Hari ini, sebuah portal berita atas talian melaporkan, Pemuda Umno akan menubuhkan sekretariat pemantauan harga barang bagi memantau harga barang di seluruh negara bermula bulan depan.

Asyraf Wajdi berkata, sekretariat tersebut diketuai ketua pergerakan pemuda di setiap negeri.