635 individu ditahan sejak 18 Mac ingkar PKP di Terengganu

Seramai 381 tangkapan dibuat pada PKP fasa tiga yang berakhir semalam manakala 242 individu ditahan pada PKP fasa satu dan dua. - Foto Bernama
Seramai 381 tangkapan dibuat pada PKP fasa tiga yang berakhir semalam manakala 242 individu ditahan pada PKP fasa satu dan dua. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu menahan seramai 635 individu yang didapati ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak arahan arahan itu dikuatkuasakan 18 Mac lalu sehingga hari ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, daripada jumlah itu, Kemaman mencatatkan daerah paling ramai tangkapan iaitu 175 individu, diikuti Kuala Terengganu (161), Dungun (140), Marang (71), Besut (63), Setiu (13) dan Hulu Terengganu (12).

Roslee Chik
Roslee Chik

Menurutnya, seramai 381 tangkapan dibuat pada PKP fasa tiga yang berakhir semalam manakala 242 individu ditahan pada PKP fasa satu dan dua.

Beliau berkata, bagi PKP fasa empat yang bermula hari ini, seramai 12 individu ditahan sehingga jam 8 pagi tadi iaitu enam tangkapan di Kuala Terengganu, empat di Besut dan Kemaman serta Hulu Terengganu masing-masing satu tangkapan.

"Didapati ada peningkatan tangkapan pada PKP fasa tiga berbanding fasa sebelum itu adalah disebabkan tindakan individu yang mengingkari arahan PKP untuk tinggal di rumah.

"Ada antara individu yang ditahan ini dikesan melalui sekatan jalan raya sehingga tiga hingga empat kali dengan alasan sama untuk membeli barang keperluan.

"Malah ada juga individu ini tidak dapat memberikan sebarang alasan ketika ditanya tujuan mereka keluar dari rumah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Artikel Berkaitan:

Roslee berkata, sehingga hari ini seramai 477 pesalah sudah dituduh di mahkamah atas kesalahan melanggar PKP iaitu 49 pesalah pada PKP fasa satu, 111 pesalah di fasa dua dan 317 pesalah di fasa tiga.

"Peningkatan pesalah yang dituduh dalam fasa tiga ini jelas menunjukkan kami tidak akan lagi berkompromi dengan sebarang alasan tidak munasabah.

"No more (tiada lagi) kompaun, terus tuduh di mahkamah," katanya.