Tidak cukup sekadar usir nelayan asing

DR AZMAN
DR AZMAN
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu berharap pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas terhadap nelayan asing yang menceroboh perairan negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, tindakan mengusir tanpa tangkapan tidak cukup kerana nelayan asing akan kembali ke perairan Malaysia mencuri hasil laut negara.

“Beberapa kawasan perairan yang kaya dengan hasil laut seperti perairan Pulau Tenggol, Dungun antara yang menjadi sasaran. Bukan lagi satu atau dua buah bot nelayan asing.

“Mereka menggunakan pukat ganding yang menjahanamkan segala apa yang ada di laut kita. Malah saya terima laporan, ada yang berani menunjukkan senjata tajam kepada nelayan kita bila aktiviti mereka cuba dihalang,” katanya hari ini.

Menurutnya, beliau telah mengemukakan pendapat mengenai masalah itu kepada pengurusan tertinggi pihak berwajib dengan harapan nelayan asing ditahan supaya penguatkuasaan negara tidak dilihat lemah dalam tempoh PKP berlangsung.

“Tindakan pengusiran sahaja bot nelayan asing tanpa penangkapan dan penahanan dalam tempoh PKP ini menyebabkan mereka semakin berani menceroboh perairan negara dan mencuri khazanah hasil laut secara besar-besaran.

“Saya berpendapat, tindakan lebih tegas perlu diambil. Tidak cukup dengan sekadar usir sahaja kerana mereka hanya akan lari sekejap, kemudian datang balik.

“Walaupun kita berhati-hati untuk mengelakkan penularan wabak koronavirus (Covid 19), tapi jangan sampai kita dilihat lemah dimata penceroboh, penjarah dan perompak hasil laut ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan pihak berkuasa tidak akan menahan, sebaliknya mengusir bot nelayan asing yang menceroboh perairan Terengganu sepanjang PKP.

Tindakan itu diambil sebagai langkah mencegah penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.