Hulu Selangor, Kuala Selangor hampir capai zon hijau

Info grafik jumlah kes aktif Covid-19 mengikut mukim dan daerah di Selangor.
Info grafik jumlah kes aktif Covid-19 mengikut mukim dan daerah di Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Daerah Hulu Selangor dan Kuala Selangor kini menghampiri zon hijau dengan hanya satu kes aktif positif koronavirus (Covid-19) dilaporkan di kedua-dua daerah tersebut sehingga jam 12 tengah hari semalam.

Menerusi info grafik dikongsikan di Facebook rasmi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), daerah Sepang turut menunjukkan peningkatan kes sembuh dengan hanya tiga kes aktif berbanding tujuh kelmarin.

Setakat semalam, hanya mukim Hulu Langat masih ditakrif sebagai zon merah dengan 53 kes aktif positif Covid-19 direkodkan.

Manakala 31 mukim sudah mencapai zon hijau tanpa kes aktif dan 24 mukim lagi masih ditakrif zon kuning yang mencatat kes aktif positif Covid-19 di bawah 40 kes.

Mukim Kuang di daerah Gombak dan Serendah di Hulu Selangor yang sebelum ini ditakrif zon kuning kini sudah bertukar kepada zon hijau.

“Hari ini mukim Kuang dalam daerah Gombak pula telah mencatatkan perubahan positif di mana taraf zon kuning telah ditambah baik kepada zon hijau.

“Instrumen pencegahan iaitu penjarakkan sosial dan menjaga kebersihan diri telah membuktikan keupayaannya menghalang rebakan wabak,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan daerah Petaling yang mempunyai 46 kes aktif pula mempunyai potensi paling hampir untuk menjadi daerah zon kuning seterusnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, STFC turut memaklumkan kes baharu harian di Selangor stabil bergerak dalam lingkungan 'single digit'.

Hanya lima kes baharu dicatatkan hingga jam 12 tengah hari semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes di Selangor sebanyak 1,403 kes dengan 17 kematian.

Daripada jumlah itu 167 kes dilapor masih aktif dan 1,205 pesakit disahkan telah sembuh.

“Pergerakan kes baru yang stabil dalam ruangan 'single digit' berbanding 'triple digit' pada permulaan wabak dulu membuktikan penjarakkan sosial dan penjagaan kebersihan diri adalah instrumen efektif bagi mengekang transmisi Covid-19.

“Teruskan amalan ini, jadikan kebiasaan baru anda sehingga tiada ruang bagi virus ini merebak,” menurut kenyataan itu.