Ruslin boleh bertugas seperti biasa: Adly

Adly Zahari
Adly Zahari
A
A
A

MELAKA TENGAH - Penyelaras Dun Ayer Limau, Datuk Seri Ruslin Hasan masih boleh menjalankan tugas seperti biasa tanpa ada sebarang isu pemecatan.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, di peringkat kerajaan negeri tidak timbul mengenai pemecatan individu berkenaan kerana keputusan penilaian belum dijalankan dan akan dibuat selepas setahun tempoh perkhidmatan iaitu dikira dari tarikh pertama emolumen yang diterimanya.

Menurutnya, pelantikan jawatan itu juga termaktub di bawah kerajaan negeri dan sudah pasti sebarang keputusan rasmi hanya boleh dikeluarkan oleh kerajaan negeri sahaja.

"Secara asas beliau kekal dan selepas tarikh itu baharu diperingkat kerajaan negeri membuat penilaian.

"Beliau (Ruslin) boleh menjalankan tugas seperti biasa kerana belum lagi sampai tempoh setahun dan selepas itu barulah keputusan penilaian dibuat," katanya.

Adly berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat kerajaan negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.

Ruslin yang merupakan bekas Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pernah menjadi calon PH pada PRU14 di kerusi Dun Ayer Limau dalam Parlimen Masjid Tanah namun beliau tewas kepada calon BN, Datuk Amirudin Yusof dengan majoriti 1,479 undi.

Sinar Harian sebelum ini menyiarkan Ruslin melahirkan kekecewaan berikutan pemecatannya sebagai Penyelaras Dun Ayer Limau yang didakwa tanpa dinyatakan sebab.

Artikel Berkaitan:

Malah, Ruslin, 69, yang disebut sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat, mudah mesra dan prihatin dengan kebajikan penduduk turut terkejut apabila pemecatannya itu pada awalnya dimaklumkan menerusi pesanan WhatsApp.