184,020 layak nikmati Skim Air Darul Ehsan

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor, Abdul Halem Mat Som
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor, Abdul Halem Mat Som
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hanya 184,020 pemegang akaun meter individu layak menikmati Skim Air Darul Ehsan (SADE) yang bermula 1 Mac lalu.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Abdul Halem Mat Som berkata, Kerajaan Selangor menerima sebanyak 211,344 permohonan sehingga tarikh tutup pada 31 Disember tahun lalu.

Menurutnya, setiap permohonan melalui beberapa proses semakan silang termasuk maklumat kesahihan pendapatan menerusi data daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), E-Kasih dan Bantuan Sara Hidup (BSH).

“Semakan juga dibuat berdasarkan data dan maklumat Air Selangor berkenaan kesahihan alamat premis dan nombor akaun pengguna,” katanya menerusi satu kenyataan.

Abdul Halem berkata, skim berkenaan menawarkan pemberian 20 meter padu air percuma secara bersasar kepada penduduk Selangor yang layak dan menjadi antara program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bagi menggantikan Program Pemberian Air Percuma.

“Bagi pengguna meter pukal di pangsapuri kos rendah, mereka akan terus menikmati 20 meter air percuma di bawah SADE secara automatik.

“Pemohonan yang berjaya dan tidak berjaya akan dimaklumkan melalui emel atau khidmat pesanan ringkas (SMS),” katanya.

Beliau berkata, bagi pemohon yang mendaftar secara atas talian, mereka boleh menyemak keputusan SADE melalui Portal SSIPR dengan menggunakan nombor mykad dan nombor akaun Air Selangor.

Artikel Berkaitan:

Bagi pemohon yang mendaftar melalui borang bercetak, mereka boleh menyemak status permohonan melalui carian (semakan) di Portal IPR Kerajaan Negeri di https://ssipr.selangor.gov.my/semakan.

Menurutnya, pemohon boleh menyemak status permohonan mereka bermula semalam.

“Permohonan SADE ini dibuka semula kepada yang layak mengikut kriteria ditetapkan bermula 1 April lalu secara dalam talian di www.ssipr.selangor.gov.my atau muat turun borang permohonan di laman sesawang www.airselangor.com.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Air Selangor menyarankan borang permohonan yang lengkap dihantar melalui emel iprair@airselangor.com kerana kaunter perkhidmatan di 10 pejabat wilayah Air Selangor masih ditutup,” katanya.

Menurutnya, berikutan pelaksanaan skim tersebut, Program Pemberian Air Percuma kepada 1.6 juta pemegang akaun Air Selangor yang mula diperkenalkan pada tahun 2008 ditamatkan.

SADE merupakan program penjajaran semula pemberian air percuma kepada kumpulan sasar di Negeri Selangor untuk golongan yang berpendapatan bulanan isi rumah di bawah RM4,000.

Permohonan SADE fasa pertama dibuka kepada penduduk di Negeri Selangor antara 30 September dan 31 Disember lalu dan permohonan fasa kedua dibuka mulai 1 April lalu.