Fuziah mengaku tidak bersalah

 Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh hadir ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor, hari ini.
Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh hadir ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat kenyataan menerusi Facebook yang boleh menyebabkan kegentaran awam pada awal bulan ini.

Fuziah Salleh, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R Salini.

Mengikut kertas pertuduhan, Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan itu didakwa memuat naik kenyataan di Facebook Fuziah Salleh dipautan http://www.facebook.com/YBFuziahSalleh yang boleh menyebabkan kegentaran kepada orang awam.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di alamat JKR 4734, Jalan Tasek Utara Kuarters, Taman Imigresen, Johor Bahru pada jam 10 malam, 9 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Peguambela Fuziah, Hassan Karim dan John Fernandez memohon mahkamah mengenakan ikat jamin minimum.

Salini kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan 16 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Pada 12 April lalu, Sinar Harian melaporkan polis menyiasat Fuziah susulan tindakannya memuat naik satu rakaman video memaparkan orang ramai menyerbu Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Sultan Iskandar (CIQ) Johor Bahru.

Susulan itu, Ketua Pengarah Imigresen Johor, Khairul Dzaimee Daud menjelaskan video berkenaan sebenarnya latihan kebakaran di CIQ pada 18 Disember 2018.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dilaporkan berkata, pihaknya telah merakam keterangan Fuziah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah dan Seksyen Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

Fuziah turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.