Najib ada agenda jika jadi PM kelapan: Kit Siang

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Veteran DAP, Lim Kit Siang mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai lima agenda untuk membuat ‘comeback’ sebagai Perdana Menteri kelapan ketika membantu kempen BN dalam PRK Cameron Highlands.

Dakwa Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, lima agenda itu dibuat bagi ‘menghalalkan’ semua kesalahan membabitkan skandal 1MDB dan pentadbiran kleptokratiknya sebelum ini.

Lima agenda itu menurut Kit Siang adalah pemilihan calon Orang Asli pertama dari BN bagi PRK Cameron Highlands; jadual kempen Najib yang dipanjang ke empat hari; komitmen MIC dan MCA dalam PRK ini walaupun MCA secara terbuka mahu keluar BN dan MIC menyerahkan kerusi tradisi.

Dua lagi faktor adalah kemunculan bekas Menteri Pertahanan Datuk Hishamuddin Hussein yang sebelum ini ‘hilang’ selepas PRU14 dan sokongan daripada Pas diketuai Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Lima rancangan Najib untuk jadikan PRK Cameron Highlands sebagai batu loncatan untuknya buat comeback politik dan kembali semula menjadi Perdana Menteri selepas PRU15 nanti bagi ‘menghalalkan’ semua kesalahan membabitkan skandal 1MDB dan pentadbiran kleptokratiknya sebelum ini,” kata Kit Siang melalui kenyataan media hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Najib bagi #TakutApaBossku pada Kit Siang]

Najib hari ini memulakan kempen di Cameron Highlands bagi membantu calon BN iaitu bekas pegawai kanan polis yang juga wakil kaum Orang Asli, Ramli Mohd Nor.

Ahli Parlimen Pekan itu sebelum ini memberi #TakutApaBossku, yang ketika ini menjadi fenomena di laman sosial, kepada Kit Siang.

Artikel Berkaitan:

Najib turut mengusik Kit Siang yang dikatakan tidak selesa andai beliau turun berkempen untuk BN dalam PRK Cameron Highlands.

"Dengar khabar Kit Siang tak selesa saya ke Cameron Highlands. Rilek laaaaa," tulis Najib di laman Facebooknya.

Dalam perkembangan sama, Kit Siang berkata, BN dilihat begitu yakin dapat menarik 14.74 peratus atau 3,587 undi yang diperoleh PAS di Cameron Highlands pada PRU lepas.

“Najib yang berhadapan dengan 39 tuduhan jenayah membabitkan kesalahan rasuah, penggelapan wang dan salah guna kuasa, sebenarnya sedang merancang untuk melambat-lambatkan pendakwaan terhadapnya dengan pelbagai peringkat rayuan sehingga PRU15 yang akan berlangsung pada tahun 2023.

“Jika BN berjaya menawan semula Putrajaya pada PRU15 dan Najib kembali menjadi Perdana Menteri, maka ia akan menguburkan sama sekali peluang untuk melihat beliau meringkuk di Penjara Sungai Buloh atas skandal 1MDB dan jenayah kleptokrasi global sepanjang tempoh pentadbirannya,” kata Kit Siang.