KJ jalankan tugas pembangkang: Saifuddin

Saifuddin melihat beramah mesra dengan 26 pemimpin Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Dun Beserah pada majlis itu, hari ini.
A
A

KUANTAN - Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan desakan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin supaya meletakan jawatan dan bertanggungjawab terhadap isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) adalah perkara biasa.

Menurutnya, beliau tidak tergugat dengan desakan itu kerana keputusan berhubung ratifikasi ICERD diputuskan oleh Kabinet.

“Bagi saya KhaIry sudah menjalankan tugasnya sebagai pembangkang dengan baik.” katanya selepas Majlis Ramah Mesra anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Beserah di sini, hari ini.

Semalam, Khairy menggesa Saifuddin meletakkan jawatan serta bertanggungjawab terhadap isu ratifikasi ICERD.

Bekas Ketua Pemuda Umno itu berkata, apa yang dilakukan Saifuddin bukan satu kesalahan kecil sebaliknya meninggalkan kesan yang amat besar untuk negara.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, keputusan itu dibuat kabinet selepas mengadakan perbincangan dan kerajaan melihat bagaimana penerimaan masyarakat terhadap isu ini.

“Kita dapati ada sebahagian masyarakat memahaminya, malah ada juga yang salah faham dan salah tafsir mengenai ICERD terutama membabitkan hak asasi manusia.

“Jadi dengan meneliti semua perkara tersebut, kerajaan membuat satu keputusan yang adil untuk semua pihak,” katanya.