Didik anak masih kecil rasai roh nur Ramadan

Nurul Hidayah (kanan) berhalaqah al-Quran bersama suami dan anak-anaknya yang masih kecil bagi mengisi masa sepanjang Ramadan ketika tempoh PKP.
Nurul Hidayah (kanan) berhalaqah al-Quran bersama suami dan anak-anaknya yang masih kecil bagi mengisi masa sepanjang Ramadan ketika tempoh PKP.
A
A
A

SHAH ALAM - Menyambut Ramadan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah sesuatu yang sangat istimewa.

Bagi pendakwah, Nurul Hidayah Kamarudin dan suami, Mohammed Abdo Othman Al-Muntasir, peluang berada di rumah sepanjang masa bersama anak-anak yang masih kecil dimanfaatkan sebaik mungkin.

Beliau yang merupakan Eksekutif Kanan Zakat, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPZ MWAIP) berkata, antara rutin dan pengisian yang perlu ada di dalam rumah yang berjiwa Muslim ketika Ramadan adalah mewujudkan sesi halaqah al-Quran, bersahur bersama, berbuka puasa bersama, solat tarawih berjemaah dengan ketua keluarga menjadi imam dan turut mengadakan pengisian Ramadan.

"Kami menyusun segala aktiviti mengikut kesesuaian dan umur anak-anak yang masih kecil. Saya dan suami mempertingkatkan penghayatan anak-anak dengan al-Quran.

"Kami menceritakan kisah-kisah al-Quran kepada anak-anak. Saya jelaskan kepada mereka semua perkara yang dilakukan dalam kehidupan ini tidak lari daripada panduan al-Quran," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Menurutnya, anak-anak perlu merasai Ramadan dengan keinsanan, keanak-anakan, raikan mereka dan buatkan mereka mahu merasai cinta dengan Ramadan.

"Aktiviti ini hendaklah dibaurkan dengan pintu cinta ALLAH SWT kepada hamba-Nya, pintu kasih dan perhatian Nabi Muhammad SAW kepada umatnya dan pintu cinta ibu bapa kepada anak-anaknya," katanya.

Pada masa yang sama, katanya, beliau turut mempraktikkan amalan doa kepada anak-anak.

Artikel Berkaitan:

"Saya fokus satu minggu satu doa, misalnya ceritakan dahulu apakah kebaikan membaca doa ketika masuk ke tandas. Anak diberikan kefahaman pada setiap doa yang hendak difokuskan pada minggu tersebut.

"Selain itu, walaupun anak-anak masih kecil, ajak mereka solat bersama-sama kerana solat inilah penguat hubungan dengan kita dan mereka," katanya.