Kita sayang negara kita ini

A
A
A

HARI ini adalah hari ke-43 dan hari pertama fasa keempat kita PKP. Kini nampaknya hampir seluruh rakyat Malaysia sudah menerima hakikat perubahan dalam hidup mereka.

Bila direnungi, pandemik covid-19 telah membawa banyak hikmah yang kita tak mungkin dapat lagi di sepanjang hayat. Sesungguhnya ALLAH Maha Pengatur. Adalah bukan kebetulan apabila kita mendapat sebuah kerajaan baharu dari sebuah pergolakan politik pada penghujung Februari tahun ini.

Rakyat berasa lega bila akhirnya ada penyudah kepada peperangan politik yang tidak berhenti sejak PRU-14 lagi.

Setelah Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri pada 1 Mac beliau mengambil masa sembilan hari untuk mengumumkan barisan kabinetnya. Sesuatu yang menarik telah terjadi. Rakyat mula sedar bahawa tatanegara masih berjalan seperti biasa. Para penjawat awam masih dapat menjalankan tugas dengan lancar.

Malah, ada yang berseloroh di media sosial, kalau begini, lebih baik tiada pak menteri kerana pentadbiran negara berjalan okey sahaja.

10 hari setelah kabinet tertubuh, PM mengumumkan PKP; suatu tindakan yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini. Sebahagian besar rakyat yang tidak pernah mengalami zaman darurat dan perang dunia memang bising pada mulanya. Rakyat terpaksa melalui orientasi daripada bebas bergerak kepada yang terhad.

Pendekatan petugas PDRM di sekatan jalan raya pada mulanya dibuat menasihat dan berlembut, bertukar menjadi tegas dan keras mulai fasa kedua.

Pada mulanya, ramai juga yang cuba menguji had kesabaran pihak PDRM tetapi apabila pihak ATM pula dibawa masuk, rakyat mula mengubah sikap. Yang menarik daripada semua ini ialah, kita bukan sahaja belajar mematuhi undang-undang, malah belajar menghormati pasukan keselamatan.

Artikel Berkaitan:

Di pihak pasukan keselamatan pula dengan mandat yang diberi telah menunjukkan taring sepatutnya dalam melaksanakan tugas. Tidak keterlaluan jika dikatakan, selama ini kita berdepan lebih ramai ‘pak guard’ yang garang daripada anggota pasukan keselamatan yang garang. Imej pasukan keselamatan di mata rakyat kini berubah.

Semoga ketegasan itu kekal sampai bila-bila kerana memang tidak seronok apabila kita melihat anggota pasukan keselamatan atau penguatkuasa diacah-acah oleh mereka yang besar kepala.

Maklumat

Selama ini, TV hanya dianggap sebagai alat hiburan. Dalam tempoh PKP ini, kita menggunakan TV sebagai alat penyampai maklumat. Setiap hari kita ternanti-nanti laporan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, bukan lagi wajah artis kesayangan.

Kita belajar untuk melihat penjawat awam sebagai mereka yang benar-benar memberi perkhidmatan kepada rakyat. Mereka bukan lagi dipandang sebagai orang ‘saya yang menurut perintah.’ Para petugas di KKM dan barisan hadapan di pelbagai agensi kerajaan dilihat sebagai hero-hero yang memungkinkan kita nyenyak tidur.

Apabila covid-19 ini membuat kita duduk di rumah, dengan sendirinya kita memaksa diri untuk menerima teknologi. Kita bermesyuarat secara maya, belajar secara maya, bersembang dengan ibu dan ayah di kampung secara maya dan juga merubah cara kita membeli-belah secara online.

Walaupun terpaksa, kita membiasakan diri dengan perubahan ini. Mudah-mudahan ini adalah kursus semerta untuk kita mendepani IR 4.0.

Dalam tempoh ini jugalah rakyat menjadi patriotik. Secara bawah sedar, mereka yang duduk di rumah mahu melakukan sesuatu untuk negara. Dalam tempoh ini beberapa buah laman ‘jabatan netizen’ telah wujud. Mereka melapor apa yang mereka rasa menggugat kedaulatan negara. Isu Rohingya dan IC palsu mendapat perhatian yang besar rakyat.

Mereka juga membela individu yang dirasakan berjasa atau menggali bukti sampai ke lubang cacing mereka yang dianggap menyalahgunakan kuasa. Suara-suara di media sosial inilah yang membela Ustaz Ebit Lew yang dipanggil pihak polis di atas laporan seseorang. Suara-suara mereka jugalah menyekolahkan pelbagai individu yang dianggap menyalahgunakan kuasa dan kedudukan untuk melanggar peraturan yang ditetapkan.

Jika diperhalusi, rakyat kembali menghirup semangat Rukunegara. Sebenarnya benteng pertahanan ketiga kita adalah rakyat. Dan kita telah hidupkan kembali semangat itu.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian