29 pelajar Malaysia di Jawa Timur tidak dibenar pulang

Seramai 29 daripada 164 pelajar Malaysia di Jawa Timur, Indonesia didapati positif dalam pemeriksaan 'rapid test' Covid-19.
Seramai 29 daripada 164 pelajar Malaysia di Jawa Timur, Indonesia didapati positif dalam pemeriksaan 'rapid test' Covid-19.
A
A
A

JAKARTA - Seramai 29 daripada 164 pelajar Malaysia di Jawa Timur, Indonesia didapati positif dalam pemeriksaan 'rapid test' Covid-19 dan tidak dibenarkan berlepas pulang menaiki pesawat dari Surabaya ke tanah air.

Semua pelajar Pondok Pesantren Al-Fatah Temboro Magetan, Jawa Timur, sebelum itu perlu melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum dibenarkan menaiki pesawat Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya pada jam 8.30 malam semalam.

Ketua Rumpun Tracing Gugus Tugas Penanganan Covid-19 Jawa Timur, Kohar Hari Santoso ketika dihubungi Bernama berkata, 29 pelajar itu kini menjalani rawatan lanjut berkaitan Covid-19 dan perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

"Mereka perlu menjalani kuarantin, dan menjalani pemeriksaan sampel lendir hidung atau tekak (PCR)," katanya.

'Rapid test' itu adalah sebagai usaha pemerintah Indonesia melakukan pengesanan awal sama ada seseorang itu dijangkiti tanda-tanda awal Covid-19 atau sebaliknya.

Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia, Doni Monardo sebelum ini berkata, ujian 'rapid test' itu bukanlah kaedah terbaik dalam mengesan virus itu, tapi lebih kepada pengesanan awal sekiranya seseorang mempunyai sindrom tidak sihat, yang berkemungkinan dijangkiti Covid-19.

Pada sidang media 19 April lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kluster Covid-19 baharu di pintu masuk antarabangsa di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 April 2020.

Kluster berkenaan melibatkan pelajar Malaysia yang pulang dari Indonesia seramai 43 pelajar dari Temboro, satu daripada tempat yang diisytiharkan sebagai zon merah di daerah Magetan, Indonesia. - Bernama

Artikel Berkaitan: