FOMCA gesa kerajaan lanjut tempoh tangguh bayar pinjaman

FOMCA menggesa kerajaan memanjangkan tempoh penangguhan pembayaran pinjaman dan perumahan daripada enam bulan kepada sekurang-kurangnya sembilan bulan, bagi meringankan beban kewangan pekerja. GAMBAR HIASAN
FOMCA menggesa kerajaan memanjangkan tempoh penangguhan pembayaran pinjaman dan perumahan daripada enam bulan kepada sekurang-kurangnya sembilan bulan, bagi meringankan beban kewangan pekerja. GAMBAR HIASAN
A
A
A

KUALA LUMPUR- Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa kerajaan memanjangkan tempoh penangguhan pembayaran pinjaman dan perumahan daripada enam bulan kepada sekurang-kurangnya sembilan bulan, bagi meringankan beban kewangan pekerja.

Presidennya, Datuk Paul Selvaraj dalam kenyataan hari ini berkata, pemanjangan tempoh pembayaran pinjaman itu diharap dapat membantu mereka menyelesaikan masalah pekerjaan dan menjana pendapatan yang mencukupi bagi menunaikan tanggungjawab kewangan kepada pihak bank.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini telah dipanjangkan sehingga 56 hari dan berikutan tidak diketahui bila PKP tidak berakhir, pekerja kehilangan pekerjaan mereka dan tidak mampu mencari pekerjaan lain, pendapatan mereka berkurangan dan berdepan pemulihan ekonomi yang suram kelak.

“Untuk kebanyakan keluarga, perlu ada penyesuaian semula kewangan yang besar, justeru pemanjangan tempoh tersebut diharap mampu mengembalikan mereka ke alam pekerjaan sama ada bersama majikan lama atau majikan baharu bagi yang telah hilang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata penangguhan enam bulan itu amat bermanfaat tetapi belum memadai, terutamanya bagi keluarga yang mengalami krisis dengan pendapatan terhad serta tidak mempunyai gambaran jelas tentang pekerjaan di masa depan.

Paul berkata, ramai pengguna terpaksa menggunakan simpanan peribadi atau membuat pinjaman daripada sumber yang meragukan bagi memenuhi keperluan asas keluarga mereka.

“Mereka mungkin daripada kalangan yang berpendapatan rendah dan tidak berkemahiran ... mereka berdepan tekanan besar untuk memenuhi tanggungjawab kewangan mereka.

“Pada ketika ini, apabila sokongan kewangan kepada banyak keluarga yang menghadapi tekanan adalah sangat terhad atau langsung tidak ada, penangguhan tersebut mungkin satu usaha kecil kerajaan bagi membantu keluarga berkenaan,” katanya.-Bernama

Artikel Berkaitan: