Sektor dibenar beroperasi perlu patuhi SOP KKM

Kepatuhan majikan dan pekerja amat penting dalam memutuskan rantaian Covid-19. - Foto Bernama
Kepatuhan majikan dan pekerja amat penting dalam memutuskan rantaian Covid-19. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Semua sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi diingatkan agar mematuhi segala prosedur operasi standard Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kepatuhan majikan dan pekerja amat penting dalam memutuskan rantaian pandemik tersebut.

Menurutnya, antara amalan atau SOP yang perlu dipatuhi termasuklah membuat saringan suhu badan, pastikan tidak berada di ruang sempit, tiada perhimpunan, penjarakan sosial dan sentiasa membasuh tangan.

"Sekarang kita lihat kita (negara) dalam fasa pemulihan, jadi bila kita dalam fasa pemulihan kita galak sektor ekonomi kembali berfungsi macam biasa.

"Tetapi ada syarat iaitu kena pastikan semua SOP dipatuhi," katanya pada sidang media di kementeriannya sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama KKM ada menetapkan SOP yang perlu dipatuhi semua sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi.

Katanya, SOP atau norma kehidupan baharu itu juga perlu menjadi amalan semua rakyat di negara ini.

"Jadi inilah norma baharu yang kita ingatkan rakyat Malaysia amalkan bukan hanya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi selepas PKP pun kita kena amalkan," katanya.

Artikel Berkaitan: