X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada tindakan terhadap MB dan Bekas MB Terengganu

Roslee Chik
A
A

KUALA TERENGGANU - Kes ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mendapat arahan sebagai 'tiada arahan lanjut' (NFA).

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, pihaknya melihat kertas siasatan pagi tadi sebelum dimaklumkan daripada Jabatan Peguam Negara mengenai arahan NFA terhadap dua pemimpin terbabit.

"Tugas kita memang menyiasat dan kita sudah lengkapkan kertas siasatan sebelum kes ini dirujuk kepada Peguam Negara memandangkan kes ini membabitkan golongan kenamaan (VIP).

"Selepas kajian dibuat, pihak Peguam Negara membuat keputusan tiada tindakan lanjut diambil terhadap mereka memandangkan mereka ini menjalankan tugas-tugas rasmi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Sebelum ini, dua pemimpin itu disiasat susulan gambar mereka yang tular di media sosial kerana didakwa melanggar PKP ketika kunjungan Ahmad Samsuri ke kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal pada 17 April lalu.

Menerusi gambar yang tular itu, Ahmad Samsuri dan Ahmad dilihat bergambar dengan sekumpulan lelaki dipercayai sukarelawan yang bertugas untuk agihan bantuan kepada rakyat.

Pada 19 April lalu, Ahmad Samsuri hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu bagi memberi keterangan susulan laporan polis yang dibuat terhadapnya.

Kedua-dua pemimpin terbabit disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Dalam pada itu, Roslee berkata, pihaknya turut menasihatkan mana-mana pihak termasuk golongan VIP untuk sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan seperti mengamalkan penjarakan sosial dan tidak berkumpul beramai-ramai sepanjang PKP.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!