Kemuka permohonan khas nikah sebelum Khamis: JAIS

Setakat 24 April lalu sebanyak 387 daripada 456 permohonan kebenaran khas yang diterima diluluskan oleh JAIS.
Setakat 24 April lalu sebanyak 387 daripada 456 permohonan kebenaran khas yang diterima diluluskan oleh JAIS.
A
A
A

SHAH ALAM - Pasangan yang ingin memohon kebenaran khas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi melaksanakan akad nikah dalam tempoh Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) diminta mengemukakan permohonan segera sebelum Khamis ini.

JAIS menerusi satu kenyataan dimuat naik di akaun Facebook rasminya memaklumkan, ia bagi melancarkan proses persediaan teknikal di peringkat Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).

Menurut kenyataan itu, permohonan yang diterima selepas Khamis ini hanya akan diproses antara 7 hingga 12 Mei depan bagi penyusunan semula sama ada majlis akad nikah menerusi sidang video atau selainnya (Jika PKP ditamatkan pada 12 Mei 2020) sebelum menjelang Aidilfitri.

“Permohonan kebenaran khas ini akan tamat serta-merta apabila tempoh PKP berakhir. Tatacara pernikahan selepas PKP berakhir akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Pasangan adalah dinasihatkan supaya mengadakan perbincangan dan mendapatkan persetujuan wali dan ahli keluarga sebelum memohon kebenaran khas ini,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, majlis akad nikah dalam tempoh PKP dibenarkan di Selangor menerusi sidang video bermula 20 April lalu dengan syarat mendapat kelulusan khas JAIS.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad dalam satu kenyataan berkata, tatacara terperinci dan ketetapan baharu yang strategik disediakan bagi memastikan pelaksanaan majlis itu menepati hukum dilaksanakan dengan standard yang wajar, mudah difahami serta diikuti oleh pasangan terlibat kerana kaedahnya lain daripada kebiasaan.

Berdasarkan tatacara berkenaan, Pengarah JAIS akan memberi kebenaran khas itu setelah mendapat permohonan lengkap dan pemohon diberi penerangan mengenai proses nikah.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, setakat 24 April lalu sebanyak 387 daripada 456 permohonan kebenaran khas yang diterima diluluskan oleh JAIS.

Sejak akad nikah online itu dibenarkan, seramai 179 pasangan sudah menjalankan akah nikah menerusi sidang video.