Jokowi lancar baca al-Quran

Abdul Karim Ahmad, guru agama yang membantu Jokowi mendalami al-Quran sejak 2001.
Abdul Karim Ahmad, guru agama yang membantu Jokowi mendalami al-Quran sejak 2001.
A
A
A

SEMARANG - INDONESIA. Dua guru agama di Jawa Tengah yang pernah mengajar Joko Widodo (Jokowi) membaca al-Quran, tampil mempertahankan Presiden Indonesia itu selepas timbul dakwaan beliau tidak lancar membaca kitab suci berkenaan.

Dakwaan itu timbul di tengah-tengah kempen Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2019 yang sedang berlangsung ketika ini.

Kem Jokowi juga dituduh cuba mengelak daripada menyertai ujian membaca al-Quran sebagaimana disaran sebuah pertubuhan ulama Islam, Ikatan Dai Aceh (IDA).

Ujian berkenaan sepatutnya diadakan pada Selasa lalu di Masjid Besar Baiturrahman, Banda Aceh namun terpaksa dibatalkan kerana tidak mendapat respons positif kem Jokowi dan pencabarnya, Prabowo Subianto.

Ustaz Mudhakir dari Sukoharjo berkata, Jokowi belajar mendalami al-Quran dengan kaedah Iqra dan mendapati beliau mampu membaca dengan baik.

"Insya-ALLAH kalau seseorang itu belajar Iqra hingga jilid lima, dia sebenarnya mampu membaca al-Quran," katanya.

Tambah guru agama yang menjadi tenaga pengajar di Madrasah Tsanawiyah itu, sebutan Jokowi juga tepat dan mampu melafazkan setiap huruf Arab dengan baik.

Pendapat sama diutarakan Abdul Karim Ahmad yang mengajar di Madrasah Al Quranly Azzayadiy di Bening Ati, Solo.

Artikel Berkaitan:

"Surah Al-Fatihah dan beberapa lagi surah pendek mampu dibaca dengan baik. Bukan itu sahaja, saya juga mendengar sendiri Jokowi membaca surah Yasin," katanya.

Ujian membaca al-Quran berkenaan bagi menentukan tokoh yang bakal memimpin negara paling ramai penduduk Islam itu.

Media tempatan sebelum ini melaporkan bahawa Jokowi bersedia menyahut ujian berkenaan bergantung kepada jadualnya sepanjang kempen Pilpres 2019.

Pasukan kempen Prabowo yang disokong dua parti berasaskan Islam, Parti Keadilan Sejahtera (PKS) dan Parti Amanat Nasional (PAN) pula menyatakan ujian seperti itu tidak perlu. - Agensi