X

Kindly register in order to view this article
!

SOP kelonggaran PKP zon hijau diketahui minggu depan

Ismail Sabri Yaakob - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Prosedur operasi standard (SOP) bagi kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) zon hijau dijangka diumumkan minggu depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) kini dalam peringkat akhir bagi membentangkan perkara berkenaan.

Menurutnya, kelonggaran PKP kemungkinan dibuat secara berperingkat dan akan terhad untuk dalam kawasan di peringkat awal.

"Contohnya dalam kawasan projek perumahan awam (PPR) jika sepanjang PKP ini tiada gejala, mungkin kita benarkan mereka bawa anak-anak turun dari blok tapi tidak boleh keluar dari kawasan. SOP yang dikeluarkan mungkin akan menentukan giliran blok dan masa.

"Ini semua sedang dirangka dan MKN sedang mendapatkan input dari semua kementerian.

"Minggu depan kita boleh muktamadkan input yang dikaji oleh MKN bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan diumumkan nanti," katanya pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah terdapat pertimbangan untuk melanjutkan operasi kedai makan sehingga jam 10 malam bagi kemudahan tempahan pelanggan berbuka puasa dan bersahur, beliau berkata, ketetapan melanjutkan waktu operasi mungkin dipertimbangkan dalam SOP baharu bagi zon hijau nanti.

Katanya, pertimbangan sama boleh dibuat bagi operasi premis pajak gadai.

"Setakat ini operasi kedai makan masih kekal dengan SOP lama iaitu sehingga jam 8 malam. Pelanggan perlu buat tempahan lebih awal.

"Namun SOP berdasarkan zon akan dipertimbangkan, jadi mungkin boleh dipertimbangkan untuk zon hijau nanti. Tapi kena tunggu SOP (dibentangkan) MKN nanti.

"Termasuk juga kedai pajak gadai. Ar-Rahnu jika dalam Bank Rakyat mungkin kita boleh benarkan dibuka. Tentang kedai pajak lain masih belum dibuka tapi kita akan lihat perkara ini dalam SOP zon hijau dikeluarkan nanti," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!