Mahkamah tangguh keputusan lucut hak wang Jakel Trading

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan terhadap permohonan kerajaan untuk melucut hak wang berjumlah RM628,314, yang didakwa berkaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada Jakel Trading yang dijadual berlangsung hari ini di Mahkamah Tinggi di sini telah dilapangkan.

Peguam mewakili Jakel Trading, Thevini Nayagam memberitahu keputusan permohonan itu sepatutnya disampaikan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh hari ini tetapi ia ditangguhkan dan tarikh baharu akan ditetapkan kemudian.

"Kami masih belum dimaklumkan mengenai sebarang tarikh baharu," katanya melalui pesanan WhatsApp.

Pada Jun tahun lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memfailkan saman perlucutan hak terhadap 41 entiti yang terdiri daripada individu, syarikat dan parti politik, di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan 1MDB.

SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan secara tidak sah daripada akaun bank bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. - Bernama

Artikel Berkaitan: