Pemantauan berterusan tetap dilakukan di Simpang Renggam

R Vidyananthan
R Vidyananthan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemantauan berterusan akan terus dibuat oleh pihak Kementerian kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid di Simpang Renggam di sini akan ditamatkan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, R Vidyananthan berkata, tempoh bertenang selama seminggu akan berkuatkuasa di kawasan tersebut.

"Sepanjang tempoh itu, perjalanan keluar dan masuk tidak dibenarkan melainkan pergerakan di dalam kawasan Bandar Baharu Ibrahim Majid sahaja.

"Penduduk di situ juga boleh menjalankan aktiviti harian seperti membeli barang keperluan harian namun pergerakan adalah terhad di dalam kawasan yang dibenarkan sahaja," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Vidyananthan berkata, pihak kerajaan tidak lagi membekalkan barangan keperluan asas namun kerajaan telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memastikan kesemua barangan keperluan harian mencukupi.

Katanya, penduduk masih boleh menghubungi bilik gerakan di Majlis Daerah Simpang Renggan (MDSR) jika ingin mendapatkan keperluan khusus sepanjang tempoh pergerakan terhad ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPD di Simpang Renggam berakhir esok

Pada 27 Mac lalu, Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid merupakan PKPD pertama selepas 61 penduduknya dikesan positif jangkitan koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

Seramai 3,570 penduduk daripada 650 keluarga di dua buah kampung terbabit tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang PKPD dilaksanakan.

Dalam perkembangan sama, Vidyananthan berkata, terdapat satu kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negeri Johor adalah sebanyak 18 orang.

Bagaimanapun katanya, tiada penambahan kes baharu yang menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah kekal sebanyak 659 kes dan jumlah kes kumulatif sembuh adalah sebanyak 372 kes.