Tindakan pantas Air Selangor elak gangguan air

Tindakan pantas diambil menerusi pemantauan Ops Sumber Air berjaya mengelakkan gangguan bekalan air kepada pengguna semalam.
Tindakan pantas diambil menerusi pemantauan Ops Sumber Air berjaya mengelakkan gangguan bekalan air kepada pengguna semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan pantas diambil menerusi Ops Sumber Air dilaksanakan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berjaya mengelakkan gangguan bekalan air kepada pengguna semalam.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerusi satu kenyataan memaklumkan, hasil pemantauan dilakukan pihak Air Selangor, satu insiden pencemaran dikesan di alur Kolam KL-Larut ke Sungai Selangor pada jam 11.20 pagi semalam.

Menurut kenyataan itu, Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air diaktifkan bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terlibat.

“Siasatan menemukan kesan tompokan minyak disyaki minyak hidraulik berhampiran sebuah kilang yang menjalankan aktiviti pengilangan besi.

“Premis terbabit menghentikan operasi buat sementara waktu bermula 18 Mac lalu ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” menurut kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan, siasatan di tapak juga menemukan longgokan tong-tong minyak kosong selain terdapat kolam sisa minyak terpakai.

LUAS mengambil tindakan pantas dengan memasang ‘oil-boom’ dan ‘oil-pad’ di kawasan alur terlibat bagi mengawal baki aliran minyak pada jarak 600 meter dari mengalir ke dalam Sungai Selangor.

Manakala pihak Air Selangor memasang ‘oil-boom’ berdekatan kawasan muka sauk loji pembersihan air (LPA) SSP1, SSP2 dan SSP3.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, pihak Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) kini dalam proses menyedut sisa minyak berkenaan dengan kadar segera.

“LUAS telah mengarahkan pemilik premis supaya menyediakan penghadang minyak bagi tangki simpanan minyak diesel untuk mengurangkan risiko tumpahan.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengeluarkan arahan lapangan kepada pemilik premis tersebut menyimpan tong-tong minyak kosong itu di kawasan tertutup,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, tiada henti tugas LPA berlaku dan tiada gangguan bekalan air kepada pengguna.

Pensampelan dilakukan oleh LUAS dan Air Selangor serta pemantauan rapi di tapak dilaksanakan dari semasa ke semasa bersama pihak-pihak terlibat bagi memastikan pencemaran terkawal dan ditangani sepenuhnya.

“Kerajaan Selangor dan LUAS menyeru semua supaya prihatin terhadap kawasan sumber air negeri terutamanya sungai dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air.

“Aduan boleh dibuat menerusi emel di aduan@luas.gov.my atau WhatsApp 6019264 7904,” menurut kenyataan itu lagi.