Melaka United masih menilai import kelima

No Image Caption
A
A
A

MELAKA United hampir memuktamadkan kuota lima pemain import bagi memperkuatkan skuad Kancil untuk menghadapi Liga Malaysia 2019 yang bermula 1 Februari ini.

Ketua Jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan berkata, beliau sedang meneliti khidmat pemain di bahagian pertahanan Asia atau Asean untuk Melaka.

“Setakat ini kita sudah berjaya mendapatkan empat pemain import iaitu Montenegro, Serbia, Korea Selatan dan Brazil.

“Ada seorang lagi pemain import yang masih beraksi pada Piala Asia 2019 dan seorang lagi masih tunggu kelulusan pihak pengurusan, namun kita akan pilih salah seorang daripada mereka untuk mengisi kuota pemain Asia/Asean,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) 2019 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan positif yang dilakar pada enam aksi persahabatan pramusim setakat ini iaitu menentang Selangor United, Negeri Sembilan dan wakil Liga Singapura, Warriors FC, selain tiga aksi persahabatan di Vietnam, baru-baru ini.

Beliau turut mendedahkan pasukannya akan beraksi dalam dua lagi aksi pemanas badan menentang Sarawak pada 21 Januari dan UiTM FC, selang lima hari kemudian di Melaka sebagai persiapan terakhir menghadapi aksi pembukaan Liga Super 2019 menentang Petaling Jaya City FC di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 2 Februari depan.

Petaling Jaya City FC sebelum ini dikenali sebagai Mifa dan dinaikkan pangkat beraksi dalam Liga Super 2019 selepas memenuhi syarat yang ditetapkan oleh MFL.

Ditanya mengenai lilitan kapten, Zainal Abidin menjelaskan beliau menyerahkan perkara berkenaan kepada Persatuan Bola Sepak Melaka (Musa) untuk membuat keputusan muktamad.

Artikel Berkaitan:

Musa sebelum ini mendapatkan khidmat beberapa bekas pemain kebangsaan iaitu Safiq Rahim dari Johor Darul Ta’zim, Muhammad Shukor Adan (Felda United) dan Mohd Razman Roslan (Selangor) yang pernah mengetuai pasukan masing-masing sebelum ini.

“Kita akan mengadakan mesyuarat pengurusan bersama pemain dan pegawai untuk memberi kata putus kepada mereka mengenai tugas selaku kapten pasukan,” jelasnya. - Bernama