'Nanti ayah tiada, kebumikan ayah sebelah mak'

Mohamad Rozi bersama Allahyarhamah isterinya. - Foto Facebook Nurhafizah
Mohamad Rozi bersama Allahyarhamah isterinya. - Foto Facebook Nurhafizah
A
A
A

KOTA BHARU - "Nanti bila ayah dah tiada kebumikan ayah sebelah mak. Ayah nak duduk dekat dengan mak” Demikian pesan seorang bapa, Mohamad Rozi kepada 11 anaknya di sini.

Kisah keutuhan cinta Mohamad Rozi terhadap isterinya, Allahyarhamah Nasibah Abas dikongsi oleh anaknya, Nurhafizah di akaun Facebook hingga menarik perhatian ramai.

Ternyata Nurhafizah memahami kisah cinta sejati ibu bapanya kerana mengharungi susah senang bersama sepanjang 35 tahun dan ia menyentuh perasaan setiap insan yang membacanya.

Kata Nurhafizah, ibunya meninggal dunia pada 18 Mac lalu akibat komplikasi jantung, buah pinggang selepas melakukan pembedahan memotong kakinya di Hospital Raja Perempuan Zainab 2, Kota Bharu Kelantan.

"Selepas pembedahan itu, kesihatan mak semakin merosot, jantung dan buah pinggang semakin lemah.

"Akhirnya mak menghembuskan nafas terakhir. Pemergian mak sangat memberi kesan kepada kami terutama sekali ayah. Selama 35 tahun bersama mak, susah senang membesarkan 11 anak, pasti sukar untuk ayah terima." katanya kepada Sinar Harian.

No Image Caption

Anak ketujuh ini memberitahu, bapanya memiliki sikap tegas namun selepas pemergian ibu, dia selalu melihat bapanya mengalirkan air mata.

Artikel Berkaitan:

"Pertama kali dalam hidup saya melihat ayah menangis teresak-esak kerana mak.

"Ayah bacakan Yasin, ajar mak mengucap, pegang tangan mak sampai akhir hayat. Masa dalam van jenazah pun ayah peluk je keranda mak, seolah tak nak lepas sambil bacakan Yasin untuk mak." katanya.

Menurutnya, perasaan kehilangan itu cukup perit untuk digambarkan kerana jiwa menjadi kosong.

"Perasaan saya memang kosong sebab sebelum ni bila Ramadan, mak yang paling sibuk di dapur, dia akan tanya kami adik beradik nak makan apa sebab mak akan siapkan juadah berbuka untuk kami sekeluarga.

"Ramadan ini memang berbeza, tapi kami kena kuat untuk teruskan hidup bersama ayah." katanya.

Tambahnya, walau terpisah jasad dan bercerai nyawa, cinta sejati ibu bapanya ini tidak akan pernah terpadam.

Mohamad Rozi sebak melihat kubur Allahyarhamah isterinya. - Foto Facebook Nurhafizah
Mohamad Rozi sebak melihat kubur Allahyarhamah isterinya. - Foto Facebook Nurhafizah

"Apa yang saya pelajari dari kisah mereka ialah jangan kerana sedikit kekurangan atau kesalahan pasangan hidup kita, hilang seribu kebaikan yang pernah dia lakukan.

"Inilah rahsia sebab mak dan ayah saya boleh bertahan sehingga ke akhir hayat." katanya.

Nurhafizah juga tidak menyangka kisah ibu bapanya tular namun menganggap ia adalah rezeki untuk Allahyarhamah ibunya kerana ramai mendoakannya.