X

Kindly register in order to view this article
!

Ramadan tanpa anak bongsu

Nurul Hasya mencium potret Allahyarham Nurul Hayfa Farha sambil diperhatikan Mohd Fakhrulrazi dan Hazirah.
A
A

KLANG - Ketibaan Ramadan tahun ini cukup pilu buat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar sekeluarga apabila disambut tanpa kehadiran anak bongsunya.

Tanggal 8 Ramadan ini genap setahun, Nurul Hayfa Farha yang ketika itu berusia tujuh bulan meninggal dunia akibat demam panas.

Mohd Fakhrulrazi berkata, kehadiran Ramadan kali ini sudah tentu mengingatkan memori bersama anak perempuan bongsu kesayangannya itu.

Menurutnya, anaknya itu disahkan meninggal dunia ketika umat Islam menjalani ibadat puasa yang memasuki minggu kedua pada tahun lalu, malah tarikh tersebut juga bersamaan dengan tarikh insiden berdarah rusuhan kaum paling dahsyat di Malaysia iaitu pada 13 Mei.

“Apabila Ramadan kembali tahun ini, kenangan bersama arwah akan berputar kembali. Paling terkesan adalah isteri, Hazirah Mohd, 42, kerana Hayfa masih menyusu badan sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“Setiap tahun menjelang hari raya memang biasanya saya akan bergambar satu keluarga. ALLAH SWT pinjamkan arwah sekejap sahaja. Tak sempat kami bergambar bersamanya pada hari raya tahun lalu,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata, sejak anak bongsu daripada tujuh adik-beradik itu meninggal dunia, dia sekeluarga kerap mengunjungi pusara Allahyarham di Tanah Perkuburan Puchong Batu 14.

Namun, katanya, disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, rutin tersebut tidak dapat dilakukan.

“Masa awal-awal dulu boleh dikatakan hari-hari kami menziarahi kubur arwah. Bila PKP dilaksanakan, kami tak dapat kunjungi pusara seperti biasa menyebabkan kakak Allahyarham, Nurul Hasya yang berusia lima tahun selalu tanya bila nak pergi Taman Hayfa (merujuk ke tanah perkuburan tempat Allahyarham disemadikan).

Laporan Sinar Harian pada 14 Mei 2019 mengenai kematian anak Mohd Fakhrulrazi.
Laporan Sinar Harian pada 14 Mei 2019 mengenai kematian anak Mohd Fakhrulrazi.

“Memang rasa sedih sangat, apatah lagi baru setahun arwah meninggalkan kami. Untuk menghilangkan rasa sedih, saya sentiasa anggap Allahyarham sebagai anugerah yang ALLAH SWT bagi pinjam sekejap untuk beri syafaat kepada kami kelak,” katanya.

Mengimbas kembali kejadian sebelum Allahyarham Nurul Hayfa Farha disahkan meninggal dunia, Mohd Fakhrulrazi berkata, anaknya itu tidak tidur seharian.

Beliau berkata, tugas sebagai wakil rakyat membataskan masanya bersama keluarga menyebabkan beliau jarang dapat bersama anak bongsunya itu.

“Saya masih ingat sebelum insiden menyedihkan itu, saya ada program bersahur bersama rakyat di Meru. Hampir Subuh baru sampai di rumah dan isteri beritahu anak demam.

“Bila demamnya tidak sembuh, saya bawa anak ke hospital dan dia dimasukkan ke wad kecemasan sebelum meninggal dunia tidak lama selepas itu,” katanya.

Mohd Fakhrulrazi berkata, anak bongsunya itu paling senang dan mudah dijaga.

"Dialah penghibur kami sekeluarga, namun ALLAH SWT lebih sayangkan dia. Kami bersyukur diberi kesempatan menjaga dan mencurahkan sepenuhnya kasih sayang buatnya,” kata beliau.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!