X

Kindly register in order to view this article
!

Otak-otak La Golok

Muhammad Shahrul Nizam menunjukkan Otak-Otak Serai La Golok yang dihasilkannya.
A
A

WALAUPUN tiada sebarang aktiviti bazar Ramadan pada tahun ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun tetap ada makanan dan minuman yang jarang didapati masih dijual kepada orang ramai.

Malah, ramai juga peniaga dilihat begitu kreatif mengolah resipi bagi menghasilkan juadah unik untuk menarik perhatian pembeli.

Salah seorang peniaga berkenaan ialah Muhammad Shahrul Nizam Mohd Yusof yang menjalankan perniagaan otak-otak di Kuantan, Pahang.

Pemuda berusia 22 tahun itu menggunakan resipi turun-temurun keluarganya untuk menghasilkan sajian istimewa yang dinamakan sebagai Otak-Otak Serai La Golok.

Katanya, dia tidak menyangka cubaan pertamanya menyediakan sajian berasaskan ikan dan daging itu mendapat sambutan daripada pembeli dalam tempoh bermulanya Ramadan.

Menurutnya, dia yakin makanan itu laris dijual kerana aroma serainya membangkitkan selera orang ramai untuk mencuba.

“Otak-otak yang saya buat ini berbeza sedikit daripada otak-otak lain yang biasa dijual. Resipinya diolah dengan menambah serai serta lada hitam dalam isi ikan dan daging.

“Penggemar juadah ini pasti menyukainya kerana rasanya ada pedas, masin dan manis selain aroma serainya yang pasti membangkitkan selera,” kata Muhammad Shahrul Nizam ketika ditemui di rumahnya di Taman Tas, Kuantan baru-baru ini.

Berbeza

Anak bongsu daripada 14 beradik itu berkata, juadah tersebut dinamakan sebagai Otak-Otak Serai La Golok kerana dia mahu menarik perhatian pelanggan dengan menu baharu yang dihasilkannya itu.

Tambahan pula, Muhammad Shahrul Nizam memberitahu, ibunya, Nur Laila Yusof, 52, mempunyai darah kacukan Thailand menyebabkan otak-otak terbabit diberikan nama sedemikian.

“Kita gabungkan semua elemen yang berbeza dengan meletakkan isi ikan yang diolah bersama serai sebelum dipanggang. Dengan nama unik serta berbeza, ia mampu memberi tarikan kepada pelanggan untuk membeli,” katanya.

Berkongsi kisah perniagaannya itu, Muhammad Shahrul Nizam berkata, pada mulanya dia sendiri tidak yakin Otak-Otak Serai La Golok mampu mencipta permintaan dalam pasaran.

Namun, katanya, usaha mempromosikan produk itu di Facebook tanpa henti berjaya membantunya meneruskan perniagaan tersebut berikutan sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

Otak-otak Serai La Golok dijual RM10 sepeket.
Otak-otak Serai La Golok dijual RM10 sepeket.

“Saya tidak sangka pada hari pertama puasa saya sudah mampu menjual lebih 10 peket Otak-Otak Serai La Golok.

“Walaupun tak banyak tapi saya seronok apabila pelanggan menyukai juadah yang saya hasilkan ini,” katanya.

Tambahnya, sehingga ke hari ini dia tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Menurut Muhammad Shahrul Nizam, bagi memudahkan pelanggan dalam tempoh PKP, dia menawarkan perkhidmatan bayar tunai semasa serahan (COD) kepada mereka yang berminat.

Katanya, usaha tersebut bukan sahaja membantu pelanggannya terus berada di rumah malah turut membantu memutuskan rantaian jangkitan koronavirus (Covid-19).

“Saya faham situasi hari ini dan sebab itu saya bersedia menawarkan khidmat COD kepada pelanggan.

“Caj dikenakan bergantung kepada lokasi antara RM2 hingga RM5 manakala otak-otak pula dijual pada harga RM10 sepeket,” katanya.

Dia berhasrat untuk mengembangkan perniagaan tersebut sekiranya terus mendapat sambutan daripada pelanggan selepas Ramadan nanti.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!