Bukan ‘anti-Rohingya’ tapi eloklah berhati-hati

Malaysia perlu mengambil tindakan proaktif dan tegas dalam menangani isu kumpulan masyarakat Rohingya yang terpaksa menjadi orang pelarian ekoran kekejaman dan pergolakan di Myanmar.
Malaysia perlu mengambil tindakan proaktif dan tegas dalam menangani isu kumpulan masyarakat Rohingya yang terpaksa menjadi orang pelarian ekoran kekejaman dan pergolakan di Myanmar.
A
A
A

TAJUK di atas adalah cetusan yang menggasak minda saya waktu ini untuk turut menulis berdasarkan fakta sekaligus juga mula menarik perhatian pembaca terhadap isu Rohingya di bumi Malaysia.

Sejujurnya masyarakat Rohingya ini bukanlah kepakaran saya yang hakiki. Namun, bisikan naluri bertegas untuk mengingatkan kepada negara Malaysia yang kita cintai ini supaya lebih berhati-hati, bijaksana dan lebih proaktif dalam menangani kumpulan mereka.

Pertamanya, laporan insiden terkini protes jalanan oleh kumpulan Rohingya di Pasar Borang Selayang. Ini merupakan satu hikmah penuh tersirat yang telah menterjemahkan siapakah sebenarnya kumpulan mereka ini. Benar, Islam tidak mengajar untuk kita cepat membuat kesimpulan yang hanya disebabkan oleh fitnah mahupun apa jua pengkisahannya. Apapun berita perlu diselidik terlebih dahulu.

Namun, rata-rata kumpulan Rohingya yang juga Muslim di Pasar Selayang itu perlu juga diberitahu bahawa Islam juga tidak mengajar umatnya untuk biadab dan ingkar pada Amirul Mukmin (Ulil’ Amri) yakni kumpulan pemerintah semasa kita.

Menceroboh arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mahupun Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) waktu ini adalah satu kesalahan yang sangat besar! Apapun jua alasan yang diberi, mesti diingat, masih kedapatan kumpulan yang lebih susah daripada mereka di serata ceruk negara waktu ini untuk mencari rezeki bahkan sesuap nasi.

Namun, jika kumpulan rakyat Malaysia miskin tegar masih lagi boleh bertabah dan reda menghormati arahan pemerintah demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya, kenapa mereka tidak boleh? Apakah mereka terlalu berkira dengan sumber materialistik waktu ini? Mustahil dalam kalangan kepimpinan mereka sendiri tidak boleh mengikhtiarkan mekanisme untuk membantu sesama mereka apa adanya.

Dikhabarkan, institusi kepimpinan mereka di Malaysia tidak kurang hebatnya dan agak stabil dari segi kewangan dan kebajikan. Seharusnya kumpulan kepimpinan Rohingya melarang keras usaha protes jalanan seumpama itu.

Namun sekali lagi, tidak mengapa ia berlaku, hakikatnya kejadian itu memberi hikmah pada kita rakyat Malaysia agar membuka mata dan cukuplah sekadar memerhati kumpulan ini hingga kini. ALLAH SWT sendiri telah menyatakan ketidaksukaan kepada karakter-karakter negatif dan destruktif yang menjelikkan seperti al-mufsidin (merosak, QS [5]: 64), azh-zhalimin (zalim, [3]: 140), al-musrifin (berlebihan, [6]:141), al-mu’tadin (melampaui batas, [2:190]), al-mustakbirin (menyombongkan diri, [16]:23), kaffarin atsiim (kufur lagi bergelumang dosa, [2]: 276), khawwanin atsima (berkhianat dan berlumur dosa, [4]: 107), khainin (penghianat, [8]: 58) dan mukhtalan fakhura (sombong dan membanggakan diri, [4]: 36, [31]: 18, [57]: 23).

Artikel Berkaitan:

Keduanya, saya menyatakan sokongan sepenuhnya kepada pihak berkuasa yang tidak membenarkan bot-bot kumpulan Rohingya mendarat di pantai Langkawi, Kedah baru-baru ini. Namun, ironinya tindakan itu telah diprotes sekerasnya oleh ‘si pencinta’ Rohingya.

Kononnya, kerajaan kita tidak menzahirkan nilai-nilai murni kemanusiaan seperti yang dituntut dalam Islam. Ya benar, di sudut hati terbit juga rasa simpati kepada kumpulan pelarian itu terutama anak-anak kecil.

Tetapi persoalannya, mereka yang dibawa ke kancah pemerdagangan manusia ini, sudah kenapa? Realitinya, sebelum ini terdapat ribuan pelarian Rohingya yang telah dibenarkan mendarat di Langkawi dan diberi bantuan seeloknya. Namun kini, tanpa prejudis diri sekali lagi, lebih baik kita cuba bertanya sendiri secara telus kepada rakyat tempatan di Langkawi: apakah mereka sanggup menerima kumpulan ini lagi untuk kesian kalinya?

Buatlah kajian secara menyeluruh dengan adil. Jangan terkejut jika hasil jawapannya adalah tidak sanggup lagi. Mengapa? Sentuh dahi, cubalah renung sendiri. Terlalu banyak berita sahih yang kita boleh peroleh daripada rakyat tempatan. Silakanlah dapatkannya daripada mulut-mulut rakyat tempatan di sana.

Tidak perlu kita ulas perihal wabak Covid- 19 dengan kumpulan itu kerana semua sedia maklum betapa kerajaan dengan pasukan kepimpinan yang hebat telah melakukan yang terbaik untuk mencegah ia daripada merebak. Bertambah jelek, bila terdapat kes sesama kumpulan Rohingya yang menganiaya sesama mereka, bahkan mengaut keuntungan di situ. Nyawa mangsa pemerdagangan manusia ini umpama tiada nilai setelah kubur besar telah ditemui di sempadan Thailand dan Malaysia. Makanya, siapa yang perlu bantu siapa yang sebenarnya?Kesan

Ketiga, saya khuatir implikasi sosial pada kesejahteraan rakyat Malaysia sendiri. Sehingga kini, sewaktu membawa kereta, makan di warung juga restoran, berjalan-jalan di ibu kota, pengalaman saya sendiri belum pernah lagi saya berjumpa dengan kanak-kanak dan juga orang dewasa rakyat Malaysia yang datang mendekati, menahan kereta, meminta duit. Yang berbuat demikian adalah orang daripada kumpulan mereka yang berpakaian elok serta kelihatan sihat.

Seumpamanya ada komplot terancang untuk meminta duit seperti itu. Andai kita tahu, masih ramai lagi rakyat Malaysia yang sedang susah dan miskin tegar waktu ini, remaja yang tiada kemahiran, penganggur lepasan universiti dan bertambah lagi kisah duka orang asli Malaysia serta macam-macam, apakah benar tindakan kita membantu kumpulan Rohingya sepenuh jiwa raga sehingga mereka naik tocang, sehingga ingin pula menuntut pelbagai hak itu dan ini.

Keempat, penggunaan analogi kononnya rakyat Malaysia perlu mencontohi kumpulan Muhajirin dan Ansar sangat tidak masuk di minda saya. Soalannya, yang Muhajirin ini siapa yang sebenarnya? Dan kumpulan Ansar ini siapa pula? Maaf ya, cuba perhalusi benar-benar, adakah terdapat ciri-ciri persamaan Muhajirin yang mempunyai Rasul ALLAH SWT sebagai sebaik contoh adab dan nilai-nilai murni untuk kumpulan Rohingya? Juga wajarkah kita perlu memaksa rakyat Malaysia untuk mempunyai ciri-ciri Ansar waktu ini?

Adakah terdapat negara yang akan menerima rakyat kita dan diberi layanan kelas pertama? Sedangkan, rakyat profesional kita yang berkelana pergi mencari rezeki di merata negara-negara luar pun biasanya menyatakan tiada yang terindah sebaik sahaja berjaya mendarat di KLIA! Selebihnya lagi, melihat kepada gaya kumpulan Rohingya hari ini, andai mereka pula yang mempunyai negara, agak-agaknya adakah negara mereka sanggup untuk terima rakyat Malaysia sebagai pelarian?

Akhir kata, didiklah kumpulan Rohingya ini untuk punyai rasa kesyukuran yang tinggi dan pandai-pandailah membawa diri di tempat orang. Saya tidak menyangkal mungkin terdapat pembaca yang merasakan bahkan Malaysia pun bukan kita yang punya. Benar, hakikat pegangan mengikut hukum ALLAH SWT, tiada apa pun yang kita miliki melainkan sekadar dimiliki. Sampai masa, kepada-Nya jua tempat kembali asal kita.

Namun, jangan silap sangka, menjadi khalifah di bumi ALLAH ini adalah tujuan kita dan menjaga hak-hak sewajarnya juga adalah amanah ALLAH yang perlu kita selesaikan sesempurna yang boleh. Dalam konteks ini, bumi Malaysia takdirnya adalah hak milik dan amanah rakyat Malaysia tentunya! Tanggungjawab kita semua untuk menjaga dan melindungi sebaik mungkin agar tiada rakyat Malaysia yang merempat di bumi sendiri suatu hari nanti!

Seelok-eloknya, buat baik berpada-pada adalah mencukupi. Buat jahat jangan sekali.

* Profesor Madya Dr Norzanah Mat Nor ialah Pensyarah Kanan Arshad Ayub Graduate Business School( AAGBS), Universiti Teknologi Mara