Skuad Badar direman, penyokong berkumpul laung takbir

10 ahli Skuad Badar dikenakan perintah reman.
A
A

SUNGAI PETANI - Lokap Cawangan Mahkamah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pagi ini dipenuhi lebih 50 penyokong yang melaungkan takbir 'Allahuakbar' sebaik sahaja kenderaan polis tiba.

Sokongan itu ditujukan kepada ahli Skuad Badar yang dibawa jam 9.25 pagi diiringi anggota polis untuk mendapatkan perintah reman.

Perintah tahanan reman bagi Pengerusi Skuad Badar, berusia 46 dan seorang lagi ahli yang berakhir hari ini, Khamis disambung sehingga 19 Januari ini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Mohamad Fared Abdul Latif dan selesai kira-kira 12.30 tengah hari.

Selain itu, seramai lapan lagi ahli skuad itu yang baharu ditahan Rabu lalu direman sehingga 18 Januari 2019 bagi membantu siasatan.

Ini menjadikan keseluruhan 10 ahli Skuad Badar dikenakan perintah reman.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Sebelum ini, media melaporkan dua ahli Skuad Badar termasuk pengerusi mereka ditahan polis kira-kira jam 10 malam di Pejabat Skuad Badar dekat sini Ahad lalu dan perintah reman terdahulu bermula Isnin hingga Khamis.