Lindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

PADA Februari 2018, negara digemparkan dengan kes seorang bapa yang tergamak melakukan jenayah seksual terhadap anak perempuan kandungnya yang berusia 15 tahun.

Lelaki durjana itu telah menerima hukuman setimpal dan dikenakan hukuman penjara selama 48 tahun dan 24 sebatan kerana melakukan 623 kesalahan jenayah seksual terhadap anaknya itu.

Merak Jalanan merupakan seorang daripada insan yang berpeluang untuk mengikuti perbicaraan kes yang sangat menjijikkan itu.

Ada perkara yang tidak boleh Merak Jalanan ceritakan secara terbuka namun pada ketika itu segala perasaan benci, marah dan sedih menyelubungi para wartawan yang mengikuti perbicaraan tersebut.

Terdapat banyak lagi kes yang melibatkan jenayah seksual dalam kalangan kanak-kanak berlaku namun tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Mujurlah pada 22 Jun 2017, Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak dilancarkan secara rasmi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Penubuhan mahkamah itu tercetus daripada idea Najib sendiri yang diumumkan semasa berucap pada Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 13 Mac 2017.

Tujuan penubuhan mahkamah tersebut adalah untuk mempercepatkan tempoh pelupusan kes dan mempercepatkan giliran bagi perbicaraan kes jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

Hakim Mahkamah Sesyen yang arif dan pakar dalam undang-undang berkaitan kanak-kanak dilantik bagi tujuan perbicaraan.

Sekurang-kurangnya, inilah keadilan yang mampu kita berikan kepada mangsa-mangsa jenayah seksual selepas kehidupan mereka hancur dimusnahkan oleh orang yang sepatutnya melindungi mereka.