Remaja, kanak-kanak didakwa berparti ketika PKP

A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 15 individu termasuk lima remaja dan seorang kanak-kanak, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dengan berparti di sebuah kondominium di sini Selasa lepas.

Mereka terdiri daripada seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun, empat remaja perempuan berusia antara 15 dan 17 tahun dan lima wanita dan lima lelaki berumur antara 22 hingga 43 tahun.

Seorang remaja berumur 15 tahun mengaku bersalah, manakala 14 yang lain mengaku tidak bersalah, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nurfarahain Roslan.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa telah berhimpun di dalam sebuah bilik di kondominium di Off Jalan Pudu, di sini pada 21 April lepas, yang melanggar Peraturan 6 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang boleh dihukum di bawah Peraturan 11 (1) peraturan sama.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menetapkan 11 Jun untuk sebutan semula kes remaja berumur 15 tahun itu bagi mendapatkan laporan akhlak, sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.

Kesemua tertuduh yang mengaku tidak bersalah dibenarkan diikat jamin RM700 dengan seorang penjamin, dan 11 Jun ditetapkan untuk sebutan kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar mencadangkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin RM5,000, manakala kesemua tertuduh yang diwakili seorang peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu jaminan rendah, atas alasan ada di antara mereka merupakan remaja bawah umur.

Artikel Berkaitan:

Di mahkamah sama dan di dua Mahkamah Majistret berasingan, 66 lagi individu termasuk warga Pakistan, Indonesia, Bangladesh dan Myanmar, didakwa atas pertuduhan ingkar PKP dengan bergerak dari satu tempat ke tempat lain, termasuk membeli barangan keperluan makanan, mengambil wang daripada rakan dan pergi ke bank untuk mengeluarkan duit.

Seramai 58 yang terdiri daripada lelaki dan beberapa wanita mengaku bersalah dan dikenakan hukuman penjara antara tiga dan tujuh hari serta denda antara RM700 dan RM1,000 atau penjara dua minggu hingga tiga minggu, jika gagal membayar denda itu.

Lapan lagi individu mengaku tidak bersalah dan mahkamah menetapkan antara 11 hingga 25 Jun untuk sebutan semula kes.

Kesemua mereka yang berusia antara 17 hingga 40 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Bukit Bintang, Setapak, Dang Wangi, Wangsa Maju dan Cheras, pukul 1 pagi hingga 10 malam, pada 16 hingga 26 April.

Di Mahkamah Majistret Selayang, seorang lelaki warga Myanmar dan Nepal masing-masing dipenjara dua bulan manakala 10 lagi lelaki didenda RM1,000, selepas mereka mengaku bersalah berada dalam kawasan tempat jangkitan tanpa alasan munasabah, dan bergerak dari satu tempat ke tempat lain kerana mahu membeli makanan untuk isteri dan melawat ahli keluarga yang sakit di rumah.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan memerintahkan dua lelaki berumur 22 dan 28 tahun itu menjalani hukuman penjara dua bulan dari tarikh tangkap pada 17 April dan 21 April.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sekitar Gombak dan Selayang pada 17 dan 21 April lepas antara 2 pagi sehingga 3 pagi.

Dua lelaki itu turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan gagal mengemukakan dokumen yang sah semasa ditahan di tempat, masa dan tarikh sama, mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya dan boleh juga dikenakan tidak melebihi enam sebatan.

Mahkamah menetapkan 11 dan 25 Jun untuk sebutan kes bagi semakan pasport mereka.

Bagi kes 10 lelaki terdiri daripada warga Afghanistan, Indonesia dan Myanmar termasuk lima lelaki warga tempatan berumur 20 hingga 44 tahun, mereka didenda RM1,000 atau penjara tiga bulan kerana kerana melakukan kesalahan sama di sekitar Selayang, Gombak dan Batu Caves pada 2 pagi dan 5.30 petang antara 30 Mac sehingga 26 April.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shasha Hidayah Nor Azahar manakala tertuduh masing-masing diwakili peguam Azman Abdullah dan M.Mariappan dari YBGK. - Bernama