Pendaftaran aplikasi Gerak Malaysia meningkat kepada 500,000

Huzir
Huzir
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pendaftaran melalui aplikasi Gerak Malaysia menunjukkan peningkatan apabila seramai 500,000 individu telah mendaftar dengan aplikasi mudah alih itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, jumlah berkenaan bertambah sejak semalam selepas pihaknya menyarankan orang ramai membuat permohonan bagi mendapatkan permit pergerakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Difahamkan, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) sudah merekodkan sebanyak 250,000 permohonan untuk mendapatkan permit bagi melakukan perjalanan rentas negeri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Huzir berkata, pihaknya menjangkakan jumlah permohonan untuk rentas negeri ini akan bertambah menjelang 1 Mei ini.

"Kita akan memastikan bahawa setiap permohonan yang diterima adalah untuk tujuan yang dibenarkan sahaja," katanya.

Dalam kenyataan semalam, seramai 300,000 individu sudah mendaftar dengan aplikasi mudah alih Gerak Malaysia dan lebih 100,000 daripadanya sudah memohon untuk mendapatkan permit bagi melakukan perjalanan rentas negeri.

Huzir turut menjangkakan angka tersebut akan meningkat berkali ganda menjelang 1 Mei ini.

Huzir menyatakan bahawa sepanjang tempoh ditetapkan, PDRM akan memantau dan menilai trend permohonan yang diterima melalui aplikasi atas talian Gerak Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Beliau berharap kerjasama semua pihak adalah amat penting bagi memastikan sistem aplikasi atas talian Gerak Malaysia itu dimanfaatkan oleh mereka yang benar-benar perlu melakukan pergerakan antara negeri.