10 negeri termasuk dua wilayah tiada kes baharu Covid-19

Noor Hisham
Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 10 negeri termasuk dua wilayah tidak merekodkan sebarang kes positif baharu jangkitan koronavirus (Covid-19) hari ini.

Berdasarkan data dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat jam 12 tengah hari tadi, negeri tersebut ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya serta Labuan.

Kuala Lumpur merekodkan kes tertinggi baharu positif Covid-19 dengan jumlah 30 kes.

Daripada jumlah itu, empat kes merupakan kes import dikesan daripada rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara.

Selain itu, Selangor merekodkan empat kes dan Sarawak tiga kes termasuk satu kes import.

Perak, Negeri Sembilan dan Sabah masing-masing mencatatkan satu kes.

Keseluruhan jangkitan baharu hari ini adalah 40 kes termasuk lima kes import.

Lima kes import membabitkan satu kes rakyat yang pulang masing-masing dari Indonesia dan Afrika serta tiga kes dari United Kingdom.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, daripada 23 kluster yang masih aktif, hanya tiga daripadanya merekodkan kes baharu.

Persidangan gereja di Sarawak merekodkan dua kes positif baharu dan kluster Pasenteren serta Sendayan masing-masing merekodkan satu kes.

Mengulas mengenai kluster eksekutif, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster tersebut telah selesai sepenuhnya.

"Ia merupakan kluster Uda yang melibatkan 120 pesakit.

"Kes pengesanan aktif telah dilakukan terhadap kluster ini dan kesemua pesakitnya telah dibenar pulang," katanya.

Setakat ini, sebanyak 5,820 kes positif direkodkan di negara ini sejak 25 Januari lalu.

Daripada jumlah itu, 1,764 kes masih dirawat dan sebahagian besar iaitu 67.9 peratus (3,957 kes) telah pulih.

Seramai 99 kematian akibat Covid-19 direkodkan.